SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jururawat asal Perak lega majikan SG sediakan vaksin

Jururawat asal Perak lega majikan SG sediakan vaksin

Jan 25, 2021 | 5:30 AM

Jururawat asal Perak lega majikan SG sediakan vaksin

HAMPIR setahun Cik Yulisda Mohamed Yusof tidak dapat pulang bertemu keluarganya di Perak hingga dua anak kecilnya membesar tanpanya di sisi.

Vaksinasi Covid-19 yang diterima baru-baru ini di Singapura oleh Cik Yulisda, yang berbakti sebagai jururawat di sini, menyuntik sinar harapan pandemik itu akan berakhir dan beliau dapat mendakap dua anak perempuannya itu.

"Bayangkan, anak perempuan saya daripada baru belajar duduk sekarang dah boleh berlari," kata Cik Yulisda, 32 tahun, yang melihat anaknya yang berumur empat dan satu setengah tahun itu hanya melalui panggilan video.

Kali terakhir beliau bersama mereka ialah ketika anak bongsunya berumur enam bulan.

Cik Yulisda, warga Malaysia yang berpengalaman sembilan tahun sebagai jururawat, bekerja di Hospital Mount Elizabeth Novena sejak tujuh tahun lalu di wad pembedahan perubatan.

Di wad itu, pesakit dipersiap untuk pembedahan dan dirawat selepas pembedahan.

Dengan tertutupnya sempadan dek Covid-19, beliau terpaksa berjauhan dari suami dan anak-anaknya dan tidak pulang pulang ke Perak hampir setahun.

Walaupun mereka berhubungan melalui panggilan video setiap hari, Cik Yulisda tetap bimbang sekirannya anak bongsunya tidak mengenalinya jika berjumpa kelak.

Anak sulungnya bertanya bila beliau akan pulang setiap hari.

"Tetapi dia memahami. Dia kata, 'mama kerja'," ujar Cik Yulisda, yang walaupun merindui keluarganya, tetap berasa kurang bimbang memikirkan mereka tidak terdedah kepada sebarang risiko jangkitan daripadanya.

Mujur juga ada rakan-rakan serumahnya mengalami nasib serupa dan mereka saling menjadi tempat berkongsi kesedihan.

Sejak pandemik Covid-19 bermula di Singapura, tanggungjawab Cik Yulisda di wad semakin bertambah dan langkah berjaga-jaga semakin ketat, termasuk dalam pemakaian set peralatan perlindungan diri (PPE).

Pesakitnya perlu menjalani saringan pelbagai peringkat dan kes kuarantin yang perlu diawasi turut meningkat.

"Tipulah kalau (cakap) tidak risau (mengenai jangkitan Covid-19). Masih rasa risau tapi dengan langkah berjaga-jaga, tidaklah ia memberi tekanan.

"(Hanya) risau jika saya jadi pembawa jangkitan asimtomatik, bahawa saya telah dijangkiti Covid-19 tetapi saya tidak sedar. Saya risau jika saya sebar jangkitan," kata beliau.

Cik Yulisda menambah bahawa beliau juga risau kerana menyewa rumah bersama jururawat dari hospital lain.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan langkah Parkway Pantai, yang memiliki Hospital Mount Elizabeth Novena, menjalankan vaksinasi bagi pekerja kesihatannya menggunakan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Beliau menerima dos pertamanya pada awal bulan ini dan akan diberi dos ke-dua bulan depan.

Pada mulanya, Cik Yulisda risau sedikit selepas membaca berita-berita negatif - yang kemudian ternyata tidak sahih - di media sosial berkaitan vaksin Covid-19.

Tetapi setelah memeriksa fakta yang diberikan Menteri Kesihatan (MOH) dan menyaksikan Perdana Menteri Lee Heisn Loong sendiri menerima vaksin itu, beliau menjadi yakin dan berasa lega setelah diberi suntikan pertama.

"Apabila saya kerja, saya rasa lebih selamat, buat diri sendiri dan pesakit. Ia meningkatkan keyakinan diri saya. Saya rasa bak saya ada pelindung. Sekurang-kurangnya saya dapat bekerja dengan fikiran tenang. Kurang rasa risau," ujar Cik Yuslida.

Beliau berharap itu sebagai permulaan baik dalam usaha menentang Covid-19 dan akan membawa kepada pembukaan semula sempadan - dan beliau dapat bersama keluarganya yang tersayang semula.

Cik Yuslida antara sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan sudah menerima suntikan vaksin Pfizer- -BioNTech.

Kebanyakan mereka yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini bekerja dalam sektor yang diberi keutamaan menerimanya.

Sebahagian mereka sudah pun berkongsikan pengalaman menerima suntikan itu di Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg