Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar cedera, maut di tempat kerja separuh pertama tahun ini sebanding 2020
Kadar cedera, maut di tempat kerja separuh pertama tahun ini sebanding 2020
KADAR kecederaan dan kematian di tempat kerja bagi separuh pertama tahun ini adalah sebanding dengan kadar sebelum berlakunya Covid-19, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Menurut kenyataan MOM semalam, terdapat 193 kecederaan bagi setiap 100,000 pekerja di antara Januari dengan Jun tahun ini.
Ini berbanding 205 kecederaan bagi setiap 100,000 pekerja di antara Jun dengan Disember pada 2019.
Jumlah kematian bagi setiap 100,000 pekerja pada tempoh perbandingan sama adalah 0.7 pada separuh pertama 2021, berbanding 0.6 pada separuh kedua 2019.
Kemalangan melibatkan kenderaan merupakan punca utama kematian di tempat kerja pada separuh pertama tahun ini, menurut perangkaan separuh tahunan mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang dikeluarkan MOM itu.
Seramai 23 pekerja meninggal dunia semasa bertugas antara Januari dengan Jun, enam daripada mereka terlibat dalam kemalangan kenderaan.
Empat yang maut merupakan pekerja penghantaran dengan tiga terkorban akibat pengguna jalan raya lain yang cuai.
Menurut MOM, sebuah kumpulan kerja yang melibatkan Majlis Keselamatan Di Tempat Kerja dan Kesihatan (WSH), Persatuan Pejuang Penghantaran Nasional dan syarikat seperti Grab dan SingPost, dibentuk bagi membincangkan bagaimana mengurangkan kematian ini.
Huraian teknologi baru seperti sistem amaran pertembungan dan sistem pemantauan sikap penunggang akan diuji di firma penghantaran makanan dan logistik, tambah kementerian itu.
Satu operasi penguatkuasaan selama dua bulan mengenai keselamatan kenderaan juga akan dijalankan pada bulan ini, menyasarkan sektor yang lazimnya berlaku bahaya trafik di tempat kerja - seperti sektor pengangkutan dan simpanan, perkilangan dan binaan.
Sektor binaan serta pengangkutan dan simpanan, masing-masing menyumbang tujuh kematian pada separuh pertama tahun ini, sekali gus merupakan 60 peratus daripada kematian di tempat kerja bagi tempoh itu.
Dalam pada itu, empat kematian dilaporkan dalam sektor perkilangan.
Ini termasuk tiga yang mati dalam letupan di sebuah bangunan perindustrian di Tuas pada Februari.
Sejak Julai, terdapat sekurang-kurangnya tujuh kematian lain di tempat kerja, membawa jumlah kematian keseluruhan pada tahun ini kepada sekurang-kurangnya 30 orang.
Ini berbanding 30 kematian di tempat kerja bagi seluruh tahun lalu, dengan 13 kematian dilaporkan pada separuh kedua tahun.
MOM mengatakan ia sedang memberi tumpuan kepada industri perkilangan, yang mencatat kadar kematian di tempat kerja bagi tempoh enam bulan, 1 bagi setiap 100,000 pekerja.
Ini berbanding 0.8 bagi setiap 100,000 pekerja pada separuh kedua tahun lalu.
Sektor berkenaan mencatatkan jumlah tertinggi bagi kecederaan tidak membawa maut di antara Januari dengan Jun - 80 kecederaan parah dan 1,364 kecederaan ringan.