KADAR pengangguran terus berkurangan Februari lalu, menurut perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.

Kadar pengangguran secara keseluruhan susut kepada 2.1 peratus daripada 2.3 peratus pada Januari.

Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk berkurangan kepada 3 peratus berbanding 3.1 peratus pada Januari.

Sementara itu, kadar pengangguran dalam kalangan warga Singapura pula jatuh kepada 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus pada Januari.

Kadar pengangguran kini kembali ke paras sekitar sebelum Covid-19, menurut MOM dalam perangkaan situasi pengangguran bulanan yang dikeluarkannya.

Seramai 71,700 penduduk, dengan 65,000 daripada mereka merupakan warga, menganggur pada Februari lalu.

MOM menjangkakan kadar pengangguran akan turun naik sekitar paras ini, bergantung pada situasi ekonomi memandang ke hadapan.

"Jumlah jawatan kosong yang tinggi boleh mengurangkan kadar (pengangguran) ini lagi namun pada masa yang sama, risiko dalam ekonomi sedunia telah bertambah, dengan gangguan kepada rantaian bekalan yang berlanjutan dan harga tenaga lebih tinggi boleh menjejas sentimen perniagaan dan keuntungan," ujar MOM.

Menerusi laman Facebook beliau, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata kadar pengangguran dalam kalangan penduduk setara dengan jumlah purata setiap suku tahunan pada 2018 dan 2019.

"Majikan melihat lebih daripada hanya mencari pekerja terlatih yang memang sesuai dengan peranan pekerjaan semasa menggajikan pekerja dan pekerja juga lebih terbuka kepada peluang baru dan untuk belajar kemahiran baru," ujar Dr Tan semasa menarik perhatian daya tahan majikan dan pekerja sepanjang dua tahun lalu.

Dengan pendekatan itu, majikan hanya mengambil pekerja yang sudah terlatih sebelumnya oleh pesaing mereka dan bukan melatih pekerja itu supaya beliau sesuai dengan keperluan syarikat.

"Dengan pelonggaran sekatan sempadan dan langkah pengurusan selamat, saya rasa optimis bahawa situasi pasaran pekerja kita akan kekal stabil dalam beberapa bulan mendatang," ujar Dr Tan.

Pengarah urusan firma sumber manusia PeopleWorldwide Consulting, Encik David Leong, berkata syarikat dan majikan kini mula mengambil pekerja untuk bersiap sedia bagi pemulihan mendadak.

"Ini terbukti daripada jumlah permintaan untuk mengambil pekerja yang kami terima daripada industri marin, proses dan hospitaliti.

"Peningkatan ekonomi secara umumnya disebabkan keyakinan - bahawa kami telah melepasi bahagian sukar Covid-19 dan kini sedang membina momentum untuk bangkit semula," ujar beliau.

Tambahnya, sementara pelonggaran sesetengah sekatan Covid-19 telah mendorong keyakinan, Singapura masih belum mengatasi cabaran yang dihadapinya sepenuhnya, dengan pelbagai ketegangan menjejas perniagaan seperti perang di Ukraine.

Kesan ekonomi sepenuhnya belum dapat dirasa, namun ekonomi dunia kemungkinan akan mengalami inflasi dan kenaikan harga, ujar Encik Leong.

Dengan harga tenaga yang melonjak, perniagaan harus berdepan dengan kos operasi lebih tinggi juga.

"Kami optimis namun berhati-hati dan mengharapkan kadar teras pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk kita boleh meningkat lebih tinggi dengan formula MOM yang telah diselaras untuk membenarkan warga asing bekerja di Singapura," katanya.