
SALAH seorang daripada tiga warga Singapura yang disahkan dijangkiti virus Covid-19 merupakan kakitangan sebuah prasekolah.
Wanita berusia 33 tahun itu bekerja di Iman Childcare (Tampines) dan merupakan salah seorang daripada 548 kes koronavirus baru yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (24 Mei) menjadikan jumlah kesuluruhan kes Covid-19 di sini kepada 31,616.
Wanita tersebut disahkan dijangkiti virus Covid-19 pada Sabtu setelah menunjukkan simptom pada hari yang sama.
Lagi satu kes melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun yang telah pergi bekerja di SSKBJV Dormitory setelah mengalami simptom pada 17 Mei. Beliau disahkan positif pada Sabtu.
Pesakit warga Singapura ketiga pula berusia 35 tahun dan kes beliau telah dikaitkan dengan kelompok CDPL Tuas Dormitory.
Daripada 548 kes baru Ahad, 544 merupakan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori manakala tiga lagi adalah warga Singapura dan penduduk tetap.
Satu lagi kes baru adalah pemegang permit kerja yang tidak tinggal di dormitori.
Tiada kes import dilaporkan dan 99 daripada kes baru itu telah dikaitkan dengan kelompok yang telah diketahui.
Tiada kelompok baru dilapor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg