SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah van dan tiga orang di sebuah tempat letak kereta di Woodlands pada Isnin.

Salah satu daripada orang terbabit adalah seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan pemandu van itu.

Beliau telah ditahan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

Akhbar The Straits Times difahamkan bahawa pemandu itu adalah bapa kepada anak kecil itu.

Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan yang berlaku di Blok 326 Woodlands Street 32 itu pada 2.40 petang.

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dihantarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar. Beliau kemudiannya meninggal dunia, kata polis.

Dua lagi orang yang terbabit merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun.

Mereka telah dihantarkan ke hospital dalam keadaan sedar.

Siasatan sedang dijalankan.

Menurut akhbar Lianhe Zaobao, kesemua empat orang yang terlibat dalam kemalangan itu adalah sebuah keluarga yang telah makan di sebuah kedai kopi di blok berkenaan sejurus sebelum kemalangan itu berlaku.

Penduduk memberitahu akhbar itu bahawa kanak-kanak berusia dua tahun itu terjatuh dari kereta sorongnya ketika ia tergelincir di jalan raya.

Dia kemudian dilanggar van itu ketika ia sedang mengundur.

Video yang disiarkan ke laman Facebook 'SG Road Vigilante' menunjukkan polis dan SCDF berada di tempat kejadian.