Sebuah keluarga yang terdiri daripada 38 anggota, bersatu hati membuat kejutan kepada nenek yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-79 tahun.

Sesi bergambar itu dihadiri empat orang anak Cik Hasnah Bahari bersama pasangan mereka, 10 cucu dan pasangan masing-masing, serta 13 cicit.

Video mereka bersiap-sedia untuk sesi berfoto secara sekeluarga itu tular di TikTok dengan sekitar 145.7 ribu tontonan dimuat naik oleh studio ‘The Love Studios’ di mana mereka mengadakan sesi itu pada lewat November 2023.

Salah seorang cucu Cik Hasnah, Cik Raihanah Sulaiman, 33 tahun yang telah mengatur sesi itu berkata idea tersebut disarankan salah seorang sepupunya, yang inginkan kelainan dalam menyambut hari istimewa itu. Beliau berkongsi dengan Berita Harian (BH):

“Sejak kami memutuskan untuk sesi bergambar beramai-ramai, hinggalah ke hari ulang tahun nenek, ia mengambil masa dua hingga tiga minggu lamanya. Kami juga menetapkan tema warna dan berbincang sesama sendiri supaya semua yang turut serta memakai pakaian dengan warna palet yang telah dipersetujui.”

“Nenek dan makcik-makcik saya sangat teruja. Mereka membeli-belah bersama sampai ke Arab Street untuk mencari busana yang sesuai,” tambah Cik Raihanah lagi.

Malah beliau turut berkongsi bahawa hampir semua ahli anggota membeli baju baru untuk sesi itu. Anggota keluarga termuda ialah Aaryan Nufayl Jalaludin, yang baru berusia dua tahun.

“Pada mulanya nenek malu-malu, kerana beliau juga ada sesi bergambar secara solo, Tapi oleh kerana jurugambar sangat santai, ini membuat nenek rasa selesa,” jelas Cik Raihanah.

Encik Malcolm Soh, jurugrambar untuk sesi itu berkata, ini kali pertama beliau mengaturkan sesi bergambar untuk keluarga sebesar itu.

“Saya fikir ia pasti mencabar untuk mengambil gambar dengan begitu ramai anggota keluarga termasuk kanak-kanak, tetapi tidak.

“Malah mereka semua bekerjasama dengan baik, dan anak-anak itu juga senang diajak bergambar,” katanya.

Menurut Encik Soh lagi, setiap sesi bergambar itu hanya mengambil masa 45 minit.

“Ia terasa seperti suasana kampung, kecoh tapi gembira,” kata Encik Soh lagi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti