YAYASAN Keluarga Karim, yang ditubuhkan oleh keluarga Encik Bachtiar Karim dan Cik Dewi Sukwanto, telah memberikan sumbangan sebanyak $2 juta bagi menubuhkan Biasiswa Yayasan Keluarga Karim di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Sumbangan tersebut, yang diberikan dalam satu majlis penyerahan cek pada Isnin di SMU, merupakan sumbangan terbesar daripada alumni kepada SMU, iaitu oleh Cik Cindy Karim dan Encik Chayadi Karim - anak kepada Encik Bachtiar dan Cik Dewi, Pengetua Yayasan Keluarga Karim.

Dalam satu kenyataan media, dua beradik itu berkata: "Harapan kami ialah supaya siswa Yayasan Keluarga Karim dapat alami pendidikan universiti yang sama seperti yang kami alami, untuk tumpukan perhatian sepenuhnya pada pengajian mereka dan mengambil bahagian dalam semua yang ditawarkan... di Universiti, tanpa perlu rasa risau tentang kewangan mereka."

Bersama-sama dengan geran padanan daripada Kementerian Pendidikan (MOE), ini menjadikan Biasiswa Yayasan Keluarga Karim kepada jumlah nilai dana endowmen sebanyak $2.7 juta.

Biasiswa bebas bon itu bertujuan menyokong pelajar sepenuh masa dari Indonesia atau etnik Indonesia dengan keperluan kewangan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan mengiktiraf pencapaian mereka dalam kehidupan sebagai pelajar serta jangkauan masyarakat.

Bernilai $80,000, biasiswa itu memberikan setiap penerima $20,000 setahun sepanjang empat tahun pengajian mereka.

Biasiswa tersebut akan diberikan setiap tahun dan tahun-tahun seterusnya, bermula pada Tahun Akademik 2023/2024.

Presiden SMU, Profesor Lily Kong, berkata: "Saya teruja menerima penyerahan penting dan bermakna ini terhadap pendidikan daripada alumni kami sendiri.

"Pedagogi interaktif SMU sentiasa tertumpu kepada membangunkan graduan yang bukan sahaja individu yang bijak, berkebolehan dan berkeyakinan, tetapi juga individu yang didorong oleh keinginan untuk memberi impak positif kepada manusia.

"Inilah yang dilakukan alumni kami, Cik Cindy dan Encik Chayadi, melalui Biasiswa Yayasan Keluarga Karim. Harapan saya ialah orang lain dalam komuniti alumni kami akan mendapat inspirasi daripada sifat murah hati mereka."