Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluarga terdesak jual flat 3 bilik walau pilihan pembeli terbatas ekoran EIP
Keluarga terdesak jual flat 3 bilik walau pilihan pembeli terbatas ekoran EIP
TURUT berdepan dengan kekangan Dasar Integrasi Etnik (EIP), Cik Siti Zuraidah Sjamsir, 50 tahun, menghadapi kesukaran menjual unit rumahnya kerana ia hanya boleh dijual kepada etnik minoriti
Beliau yang bertugas sebagai rakan perkhidmatan pesakit kanan itu berkata beliau terperanjat apabila mendapat tahu flat tiga bilik di Tampines itu dikenakan EIP.
"Setahu saya Tampines sudah ramai orang Melayu, tetapi unit saya tidak sangka tetap dikenakan EIP dan saya hanya boleh jual kepada etnik minoriti.
"Ini bermakna bilangan pembeli untuk rumah saya lebih kecil kerana sebahagian besar warga Singapura tidak dapat peluang untuk membelinya dan ini bukan berita yang baik untuk saya," ujarnya.
Flat tiga bilik itu telah didiami sekitar lapan tahun dan kini ia agak sempit oleh kerana anak-anak Cik Zuraidah sudah semakin dewasa.
Ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 15 dengan 25 tahun masih menetap bersamanya. Maka itu beliau berhasrat menjual rumahnya.
Apabila Cik Zuraidah mendapat tahu skim baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), beliau menyifatkan ia satu pilihan yang baik untuk penjual pertimbangkan.
"Saya rasa ini menjadi salah satu alternatif yang baik jika penjual mengalami kesukaran menjual rumah. Sekurang-kurangnya masih boleh dibeli semula oleh HDB," kata beliau.
"Namun, untuk situasi keluarga saya, kami akan tetap menjual rumah kami dengan tawaran yang lebih rendah kerana sudah terdesak.
"Anak-anak saya sudah besar dan tidak cukup ruang untuk menampung kami sekeluarga.
"Selain itu, untuk menunggu tawaran dan kiraan HDB juga akan mengambil lebih masa, jadi saya akan tetap menjual dengan harga rendah," ujar beliau yang juga berkata rumah beliau belum mencapai 10 tahun untuk layak pembelian semuka HDB.
Cik Zuraidah menjelaskan bahawa rumah itu telah dipasarkan sejak Januari. Kini beliau dalam proses menerima tawaran pembeli.
"Kami tidak mengharapkan sangat kerana sudah terdesak. Jika kami tunggu lebih lama, rumah seterusnya untuk dibeli pun akan semakin meningkat (harganya) terutama dengan permintaan tinggi untuk membeli rumah," ujarnya.