Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja naik taraf stesen MRT, LRT Sengkang dijangka siap 2022

Kerja naik taraf stesen MRT, LRT Sengkang dijangka siap 2022
STESEN MRT dan LRT Sengkang akan menjalani kerja peningkatan yang dijangka selesai menjelang 2022.
Demikian menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) semalam.
Peningkatan yang akan dibuat termasuk akses tanpa pengadang yang dipertingkat dan tangga bergerak dua kelajuan ke platform MRT dan LRT.
Lif tambahan di aras MRT, LRT and mezanin stesen tersebut juga akan dipasang.
LTA akan turut meluaskan platform LRT sedia ada bagi mewujudkan ruang lebih selesa buat penumpang.
Tender kontrak tersebut dijangka dianugerahkan lewat tahun ini.
Menurut laporan The Straits Times, sebahagian besar kerja naik taraf itu akan dilakukan luar waktu khidmat bagi mengurangkan kesan kepada penumpang.
LTA berkata mereka juga akan memastikan lif kekal berfungsi di stesen MRT Sengkang sepanjang tempoh kerja itu dijalankan bagi membantu perjalanan penumpang.
Stesen dipertingkat itu akan berkhidmat kepada pengguna sedia ada, pembangunan perumahan akan datang di kawasan sekitarnya, serta Hospital Besar Sengkang dan Hospital Masyarakat Sengkang yang dijangka dibuka separuh kedua tahun ini.