DBS Bank mengadakan sesi penutup bagi edisi program pementoran terkininya dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 23 Ogos.
Inisiatif itu, yang dilancarkan pada 2019, bertujuan memperkasa dan membimbing pelajar ITE membangukan kemahiran penting, membina keyakinan dan mencapai matlamat kerjaya mereka.
Sehingga kini, kira-kira 245 mentor dari DBS dan 280 menti dari ITE telah mengambil bahagian.
Program pementoran tahunan itu, yang dinamakan DBS x ITE, berlangsung selama lima bulan, dengan para mentor dan menti bertemu sekurang-kurangnya sekali sebulan,
Pengarah eksekutif di DBS dan ketua pasukan (memupuk daya inklusif) di Yayasan DBS, Cik Monica Datta, berkata: “Pelajar di ITE berada di tahap yang sangat penting dalam perjalanan mereka, baik secara peribadi mahupun daripada perspektif kerjaya.
“ITE cenderung untuk memenuhi keperluan pelajar yang mempunyai pendekatan yang lebih kepada pembelajaran kinetik, yang menjurus kepada pembelajaran amali, secara praktikal. Kami merasakan bahawa jenis sokongan yang ingin kami tawarkan melalui program pementoran kami benar-benar sejajar dengan cara pembelajaran itu, kerana kami cuba memberi tumpuan kepada tip yang sangat praktikal.”
Ini termasuk memberi petunjuk tentang bukan sahaja celik kewangan, bahkan pertumbuhan dan perkembangan peribadi, cara pelajar boleh berfikir tentang kerjaya mereka, dan cara mereka boleh mengurus aspek positif dan negatif dalam perjalanan kerjaya mereka.
Dalam beberapa tahun yang lalu, program itu telah diperluaskan untuk membincangkan topik kesihatan mental.
“Kami menyedari bahawa ini adalah keperluan dan cabaran yang semakin meningkat untuk demografi ini,” tambah Cik Datta.
Encik Khoon Huat Sim, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pembelajaran dan pembangunan sumber manusia di DBS, telah mengambil bahagian sebagai mentor selama dua tahun berturut-turut.
Beliau berkata, di luar kepuasan membimbing belia, pementoran juga membantu dalam kerja beliau, dengan membolehkannya memahami golongan muda dengan lebih baik dan merapatkan jurang antara generasi.
“Peluang seperti ini membolehkan saya terus terlibat dan menjadi lebih relevan dari segi cara saya ingin mereka bentuk, menyampaikan dan melatih dalam tugas saya,” tambah Encok Khoon.
Cik Joey Chin, yang sedang mengikuti kursus Higher Nitec dalam Pengurusan Perkhidmatan, menyertai program itu kerana berminat dalam sektor kewangan.
“Saya seorang yang sangat introvert, yang tidak berani bersuara atau membuat penyampaian. (Tetapi), mentor membimbing saya dengan baik, dan menunjukkan kepada saya bagaimana mempunyai lebih keyakinan dalam diri saya dan cara menyampaikan pembentangan dengan lebih baik.”
Mengambil bahagian dalam program itu juga membantu mengesahkan aspirasinya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kewangan.
Sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, program bimbingan itu telah diperluaskan untuk merangkumi ketiga-tiga kolej ITE.
Cik Datta berharap dapat memperdalam perkongsian DBS dengan ITE dengan membina dan mempertingkatkan program dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg