SEPANJANG Ramadan lalu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah berkunjung ke penjara sebanyak tiga kali untuk mengambil tahu tentang bagaimana banduan menjalani proses pemulihan.

Beliau meninjau apa antara cabaran yang mereka lalui, bagaimana keluarga mereka terlibat dalam proses integrasi serta melakarkan beberapa sokongan yang tersedia untuk mereka pulang ke pangkuan masyarakat.

Namun, khususnya dalam interaksi bersama pesalah muda, beliau sedar pihak yang terlibat dalam proses pemulihan pesalah itu perlu lebih bersabar agar bantuan terus diberikan dan juga bagi pesalah tahu akan implikasi kesalahan mereka.

Justeru, antara lain, Dr Faishal terus berkongsi dengan para banduan bahawa mereka, termasuk keluarga, didampingi supaya mereka terdorong membangunkan keupayaan diri sepanjang menjalani hukuman penjara.

"Bagi saya, mungkin oleh sebab mereka masih muda, jadi pandangan mereka sangat berbeza berbanding banduan yang mungkin lebih tua di sini," kata Dr Faishal ketika ditemui media dalam satu lawatannya ke Sekolah Penjara Tanah Merah baru-baru ini.

"Pada usia yang muda ini, mereka mungkin tidak begitu sedar terhadap implikasi apa yang mereka telah lakukan. Jadi, kita mesti bersabar dengan mereka dan lihat bagaimana mereka dapat menjalankan proses pemulihan dengan baik," jelasnya.

Dalam sesi pendekatannya di penjara, Dr Faishal berkata beliau sering berkongsi panduan demi menolong para banduan dalam proses pemulihan.

Ini termasuk memberi jaminan bahawa mereka serta keluarga mereka akan terus didampingi badan-badan masyarakat seperti AMP, Pergas dan lain-lain lagi.

Beliau menekankan kepada banduan supaya mempunyai rutin dalam kehidupan mereka agar boleh fokus dalam proses pemulihan itu.

Pada masa yang sama, Dr Faishal mengingatkan mereka tentang pentingnya meluaskan rangkaian sosial yang positif agar tidak mengulangi kesalahan lama dan kembali kepada putaran kesalahan.

Selain itu, Dr Faishal menyentuh tentang keprihatinannya terhadap peranan keluarga dalam proses pemulihan.

Dengan itu, menurut Dr Faishal, sokongan turut dihulurkan untuk keluarga banduan supaya mereka turut terlibat dalam proses pemulihan dengan lancar bagaimana mereka dapat pulang kepada pangkuan masyarakat sesudah tamat hukuman penjara nanti.

"Apabila kita lihat para banduan masuk, tahap integrasi untuk keluarga kurang apabila mereka dalam penjara," kata Dr Faishal.

"Jadi apabila mereka keluar penjara mereka kekok untuk memulakan integrasi," tambahnya.

"Jadi, saya kongsikan tentang adanya sokongan di luar dan di dalam ini boleh melancarkan proses pemulihan dan integrasi."