Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua firma e-dagang Zilingo digantung jawatan
Ketua firma e-dagang Zilingo digantung jawatan
SYARIKAT pemula e-dagang Zilingo, yang disokong Temasek, telah menggantung tugas Ketua Eksekutifnya, Cik Ankiti Bose, sedang siasatan dijalankan ke atas urusan syarikat itu.
Dalam satu kenyataan media semalam, lembaga pengarah Zilingo berkata pelabur utama syarikat itu membenarkan langkah menggantung Cik Bose sementara siasatan dijalankan terhadap perkara yang timbul bulan lalu, lapor The Straits Times.
Kenyataan itu tidak menyebut apa perkara itu.
"Pada Mac 2022, pemegang saham Zilingo dan ahli lembaga menerima maklumat yang memerlukan siasatan. Pelabur utama syarikat memberi kuasa kepada lembaga supaya Ketua Pegawai Eksekutif, Ankiti Bose, digantung sementara menunggu siasatan mengenai perkara yang dibangkitkan," kata kenyataan itu.
Agensi berita sebelum ini melaporkan Cik Bose digantung kerja selepas usaha pendanaan baru membawa kepada persoalan mengenai perakaunan syarikat itu.
Kebimbangan tertumpu pada cara Zilingo, yang berpangkalan di Singapura, mengambil kira transaksi dan hasil merentasi platform yang merangkumi beribu-ribu peniaga kecil, menurut sumber Bloomberg.
Zilingo berusaha mengumpul AS$150 juta ($205 juta) hingga AS$200 juta dengan bantuan daripada Goldman Sachs Group, dan pusingan pembiayaan dijangka menaikkan penilaiannya melebihi AS$1 bilion.
Selain firma pelaburan negara Singapura Temasek, Zilingo mengira firma modal teroka Sequoia Capital dan Burda Principal, serta cabang pelaburan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura EDBI, sebagai antara pelaburnya.
Lembaga Zilingo berkata pelabur utama syarikat itu telah mengupah firma bebas untuk menyiasat perkara itu, dan Zilingo bekerjasama rapat dengan pelabur dan firma bebas untuk siasatan.
"Proses sewajarnya telah dan akan diikuti. Lembaga komited melindungi kepentingan semua pihak berkepentingan dengan cara yang adil sambil memenuhi kewajipan fidusiarinya," tambahnya.
"Selain perkara di atas, butiran khusus siasatan ini - dan hal ehwal syarikat - adalah sulit."
Agensi berita melaporkan Cik Bose mempertikai dakwaan salah laku dan mendakwa penggantungannya sebahagiannya disebabkan aduan yang dikemukakannya berhubung gangguan.
Semakan kawal selia menunjukkan penyata kewangan terakhir Zilingo difailkan pada Mac 2019. Syarikat itu, yang menyediakan huraian teknologi untuk menyokong rantaian bekalan fesyen, ditubuhkan oleh Cik Bose dan pengasas bersama Dhruv Kapoor pada 2015.
Mengulas, Profesor Mak Yuen Teen daripada Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata lembaga pengarah ada kuasa mengarahkan siasatan dan meletakkan CEO dalam cuti atau menggantung eksekutif, tetapi perlu ada proses wajar dan adil.
"Secara amnya adalah tidak wajar CEO masih menjalankan perniagaan dalam tempoh penyiasatan. Ia bukan satu situasi yang mudah untuk dikendalikan," ujar Profesor Mak.
