WARGA Singapura rata-ratanya bertanggungjawab dan telah melakukan penyesuaian dalam kehidupan sejak Covid-19.
Menyeru menjadikan hal tersebut suatu kekuatan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata:
"Keupayaan kita menyesuaikan diri, dan melakukannya dengan pantas, ialah genting bukan sahaja dalam fasa selanjutnya dalam perlawanan kita menentang Covid-19, tetapi juga bagi aspek lain termasuk dari segi ekonomi."
Dalam satu pos di Facebook, Encik Heng berkata ramai warga Singapura yang telah menyesuaikan diri semasa pemutus litar.
Bekerja dari rumah dan persidangan video juga telah menjadi norma kini, katanya.
Namun beliau menekankan bahawa meskipun jangkitan virus tersebut telah dapat dikawal dan bertambah baik, keadaan ekonomi, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di dunia, semakin buruk.
"Kita tidak sabar bagi kehidupan pasca pemutus litar.
"Tapi perjuangan ini jauh dari selesai... Kita mesti terus menyesuaikan diri terhadap krisis ini dan kekal di hadapan agar kita dapat timbul darinya lebih kuat," tulis Encik Heng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg