Topik diikuti
Pergi ke BHkuKolej kediaman baru NUS beri tumpuan kepada AI bakal dibuka
Kolej kediaman baru NUS beri tumpuan kepada AI bakal dibuka
Lebih ramai pelajar bakal berpeluang tinggal dan belajar di kampus dengan pembukaan kolej kediaman baru di University Town, Universiti Nasional Singapura (NUS), pada Ogos.
Acacia College, ruang kediaman kelima di kampus itu, akan menerima kumpulan pertama seramai 100 pelajar tahun pertama dari semua disiplin untuk program selama dua tahun.
Ia akan menjadi kolej pertama di NUS yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan akan mengambil alih kawasan yang sebelum ini menempatkan NUS College (Cinnamon Wing).
Pada tahun pertama, Acacia College akan menempatkan 100 pelajar tahun kedua untuk menyokong aktiviti dan membimbing pelajar baru, dan menjelang Ogos 2026, ia akan menampung sejumlah 600 pelajar, lapor The Straits Times (ST).
Profesor Madya Heng Cheng Suang dari Sekolah Pengkomputeran NUS akan mengetuai kolej baru ini sebagai pengawas.
Pembukaan Acacia College membawa jumlah pelajar sarjana muda NUS yang tinggal di kolej kediaman kepada sekitar 7 peratus, atau 2,800 pelajar, berbanding 2,250 pelajar sarjana muda di empat kolej kediaman sedia ada, menurut NUS.
Berbeza daripada enam dewan kediaman universiti, kolej kediaman mempunyai program akademik dua tahun dengan pelajar dari pelbagai disiplin berkumpul dan mengikuti kursus antara disiplin dalam kumpulan kecil di kolej.
Penghuni Acacia College boleh memilih bilik tunggal, atau pangsapuri dengan enam bilik tidur, lengkap dengan kemudahan untuk mesyuarat, makan, dobi, rekreasi, serta sukan.
Profesor Madya Leong Ching berkata Acacia College memenuhi keperluan pendidikan yang penting, kerana ia berkait dengan persoalan asas tentang perkara yang menjadikan kita manusia, serta meneroka pelbagai aspek interaksi antara manusia dengan mesin.
Profesor Heng berkata pelajar tahun pertama akan mengikuti kursus literasi digital dan seminar untuk memupuk pemikiran kritikal serta perbincangan antara disiplin mengenai AI.
Seiring dengan pembukaan kolej baru itu, NUS akan memperkenalkan Biasiswa Bakat AI mulai tahun akademik 2025 untuk 20 pelajar tahun pertama dalam empat program ijazah sarjana muda sepenuh masa: kecerdasan buatan, sains komputer, robotik dan kecerdasan mesin, serta sistem kecerdasan buatan perniagaan.
Penerima biasiswa akan diberi keutamaan untuk memasuki Acacia College, dengan yuran pengajian yang ditanggung sepenuhnya, serta elaun tahunan untuk penginapan dan perbelanjaan hidup di kampus, selain geran perjalanan untuk program luar negara.