Topic followed successfully
Go to BHkuKomander Divisyen Pertama SCDF tekad terus hulur bantuan selamatkan nyawa
Komander Divisyen Pertama SCDF tekad terus hulur bantuan selamatkan nyawa
Komander Divisyen Pertama SCDF tekad terus hulur bantuan selamatkan nyawa
MENYANDANG jawatan sebagai Komander Divisyen Pertama di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memang amat membanggakan.
Namun yang lebih penting bagi Kolonel Shaiful Herman Shali adalah untuk meneruskan tugasnya dalam usaha menyelamatkan nyawa sewaktu dalam keadaan kecemasan serta membina keupayaan SCDF.
Dalam pada itu, Kolonel Shaiful, 37 tahun, berkongsi, bahawa sepanjang kerjayanya selama 16 tahun, beliau sentiasa diingatkan tentang satu kejadian yang berlaku sekitar 14 tahun lalu.
Ketika itu, beliau berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah yang ditemui tergantung di buluh luar jendela tempat menyidai pakaian di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Kolonel Shaiful berkata, ia merupakan kenangan yang sering berulang dalam fikirannya memandangkan pada waktu itu beliau merupakan pegawai penggerak balas pertama mengendalikan kes kecemasan tersebut.
"Saya perlu memujuknya dengan menggunakan Bahasa (Indonesia) agar beliau meninggalkan landasan itu dan kemudian setuju untuk memasuki flat itu semula," singkap Kolonel Shaiful yang pada ketika itu menyandang jawatan sebagai komander rota di Balai Bomba Alexandra.
"Saya pun ingat, betapa pentingnya saya menyelamatkan pembantu rumah itu dengan pantas kerana cuaca pada ketika itu hujan dan kakinya hanya menyentuh sedikit sahaja, landasan tempat gantung pakian itu."
Setelah menjalankan rundingan dengannya, Kolonel Shaiful menghulurkan tangan dan menggenggam lengan pembantu rumah itu untuk menyelamatkannya.
Pada Rabu lalu, bapa seorang anak lelaki itu merupakan salah seorang daripada 4,063 pegawai sepenuh masa Home Team yang dinaikkan pangkat tahun ini.
Beliau dinaikkan pangkat daripada Leftenan-Kolonel (LTC) kepada Kolonel, setelah sekitar tujuh tahun berkhidmat sebagai LTC.
Awal sebelum ini, pemegang Biasiswa Pemerintah Singapura (SGS) itu telah menyandang pelbagai jawatan termasuk menerajui pembangunan balai bomba baru yang terletak di Jurong Island, dan membantu dalam perubahan dasar ke atas keselamatan kebakaran yang membabitkan kerjasama panel penasihat dari sektor privet.
Kolonel Shaiful mengakui amat terharu dinaikkan pangkat dan menyifatkan ia sebagai penghargaan di atas kerja kerasnya bersama rakan setugas.
"Ini adalah peluang untuk saya menyumbang kembali kepada SCDF dan masa yang sama, membolehkan saya memberi nasihat kepada pegawai lebih muda dalam SCDF.
"Dengan ini, kami dapat terus berjaya dalam memastikan Singapura selamat dan untuk menyelamatkan lebih nyawa sewaktu keadaan kecemasan," ujar beliau lagi.
Kolonel Shaiful telah menyandang jawatan sebagai Komander Divisyen Pertama SCDF sejak Januari lalu.
Sebelum ini beliau memikul pelbagai tanggungjawab yang lain termasuk menjadi Timbalan Pengarah Unit Siasatan Kebakaran dari 2017 hingga 2020 dan ditawar peluang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Siasatan Kebakaran di Universiti Central Lancashire (UCL) di United Kingdom pada 2016.
"Mungkin ada yang menganggap perjalanan saya meniti tangga kenaikan pangkat ini sesuatu perjalanan yang mudah sahaja, namun sebaliknya tidak," akui Kolonel Shaiful.
Menurutnya, beliau harus menjadi seorang pelajar sepanjang hayat kerana setiap peranan yang dipikulnya memerlukan kemahiran berbeza.
"Kini sebagai Komander Divisyen, saya pula harus mempunyai kemahiran insani, agar dapat memudahkan proses bagi saya bekerjasama dengan pegawai lain dan saling membantu antara satu sama lain."

