APABILA wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (SARS) melanda Singapura pada 2003, Dr Hoi Shu Yin, pada waktu itu seorang jururawat di barisan depan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), menyaksikan ketidaktentuan yang berlaku.
Oleh itu apabila kes Covid-19 di sini mula meningkat beberapa minggu lalu, timbalan pengarah kejururawatan di TTSH berusia 41 tahun itu memanfaatkan pengalaman lalunya untuk mempersiap hospital agar bersedia menangani lonjakan dalam bilangan pesakit.
TTSH, di bawah Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG), adalah antara segelintir hospital di sini yang telah menghadapi peningkatan besar dalam pesakit yang dijangkiti koronavirus itu, kebanyakannya merupakan pekerja asing yang tinggal di asrama.
Ia melakukannya dengan mengubah wad di dua daripada 13 lantai menjadi ruang khusus untuk merawat pesakit sedemikian awal bulan ini.
Selain itu, lebih 380 jururawat telah dilatih untuk menyokong operasi di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) berdekatan, yang telah menambah bilangan katil daripada 330 kepada 586 katil.
Kini terdapat 230 katil tambahan bagi pesakit Covid-19 di TTSH, serta 36 katil di Unit Jagaan Rapi (ICU) bagi mereka yang mempunyai simptom lebih teruk.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg