PENGUASA Sains Kesihatan (HSA) menyingkirkan lebih 1,700 iklan produk yang membuat dakwaan palsu berkaitan Covid-19 di laman-laman web setempat sejak Februari lalu.
Ini termasuk alat ujian terlarang yang berharga antara $10 dengan $290.
Pihak berkuasa juga mengeluarkan lebih 1,600 surat amaran kepada penjual dan syarikat menjual produk sedemikian, dengan pemerhati menyatakan bahawa mereka memanfaatkan rasa takut orang awam terhadap wabak koronavirus ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini (6 Mei), HSA berkata syarikat itu didapati mengiklankan produk kesihatan umum - termasuk ubat herba, probiotik dan suplemen kesihatan - secara palsu dengan menyatakan ia "baik untuk koronavirus".
Sementara itu, ada juga yang menjual pembersih tangan atau penyembur penyahjangkit yang turut membuat dakwaan bukan saintifik, seperti berupaya membunuh virus termasuk koronavirus.
Jika disabit kesalahan mengiklankan produk secara palsu untuk mencegah atau merawat Covid-19, penjual boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga $20,000, atau kedua-duanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg