BEBERAPA syarikat yang menawarkan khidmat pembelian barang keperluan seperti makanan, minuman dan barang rumah melalui talian kini menyaksikan permintaan yang meningkat secara mendadak.
Satu tinjauan oleh The Straits Times (ST) pada Selasa (31 Mac) mendapati bahawa jumlah permintaan bagi pembelian keperluan seperti makanan dan barang rumah telah meningkat secara mendadak akibat wabak koronavirus dan jumlah itu melonjak lagi pada akhir minggu lalu apabila langkah jarak selamat diterapkan.
Ini sedang pemerintah menggesa agar orang ramai supaya tidak keluar dari rumah dan membeli barang keperluan melalui talian.
Berdasarkan tinjauan ST itu, semua slot penghantaran bagi RedMart, FairPrice, Cold Storage dan Giant pada Selasa (31 Mac) telah dipenuhi.
Kata ketua pegawai eksekutif Lazada, Encik James Chang, kakitangan RedMart telah berusaha dengan sedaya upaya untuk memenuhi semua permintaan.
Beliau berkata bahawa syarikatnya juga sedang menerima bantuan oleh syarikat lain untuk mendapatkan lebih tenaga manusia akibat perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh Malaysia hingga menjejas jumlah kakitangannya.
FairPrice dan RedMart juga berkata mereka sedang mempertimbangkan pilihan untuk menaikkan jumlah pekerja supaya dapat memenuhi permintaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg