TEMPOH penutupan sementara di sebuah tajaka di Ang Mo Kio telah dilanjutkan selepas guru kedua dan seorang kanak-kanak perempuan dua tahun di sana diuji positif dijangkiti koronavirus.
Dalam kenyataan pada Isnin (6 April), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) berkata bahawa guru kedua itu, seorang guru gantian yang bertugas di Little Gems Pre-school di 3 Ang Mo Kio Street 61, diuji positif mengalami Covid-19 pada Ahad, dan kali terakhir dilihat di pusat itu pada 31 Mac.
Awal sebelum itu, guru itu telah melalui pemeriksaan kesihatan dan didapati sihat apabila melengkapkan syif.
Murid tajaka itu diuji positif pada Isnin, dan kali terakhir berada di sekolah pada 3 April. Dia juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan didapati dalam keadaan sihat sepanjang hari tersebut. Namun, dia mengalami simptom pada hari selanjutnya.
Semua kanak-kanak dan kakitangan di pusat itu kini dikenakan cuti tidak kehadiran (LOA) dan mereka yang berhubung rapat dengan kededua kes itu dikenakan kuarantin di rumah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg