PASANGAN yang telah menempah tempat acara bagi majlis pernikahan mereka seperti hotel namun diganggu akibat wabak Covid-19 tidak perlu membatalkan bayaran pendahuluan mereka di bawah undang-undang baru yang akan dilbentangkan di Parlimen minggu depan.
Menurut kenyataan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada Rabu (1 Apr), Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) itu mengusulkan langkah perlindungan bagi syarikat dan individu, yang tidak dapat memenuhi kewajipan kontrak mereka disebabkan penularan Covid-19.
Ini juga termasuk pemandu kereta sewa privet yang tidak dapat membiayai ansuran bulanan bagi pinjaman pembelian-sewa masing-masing.
Dengan undang-undang baru itu, ia bertujuan membantu dari segi aliran tunai bagi tempoh sekurangnya enam bulan kepada individu atau perniagaan yang terjejas akibat wabak virus berkenaan.
Namun, langkah ini tidak terus menghapuskan kewajipan kontrak mereka. Sebaliknya, ia menggantung kewajipan itu buat tempoh sementara, yang bakal dipanjangkan hingga setahun, kata MinLaw.
Undang-undang yang dicadangkan itu akan merangkumi kewajipan kontrak seperti tempahan tempat dan pembekal makanan bagi acara persandingan, kontrak berkaitan dengan perlancongan yang menawarkan produk atau perkhidmatan seperti penginapan di hotel dan pinjaman oleh bank atau syarikat kewangan bagi urusan perniagaan.
Bagi kontrak-kontrak tersebut, langkah baru ini akan merangkumi tempahan yang telah ditunda dan yang sepatutnya dilaksana pada atau selepas 1 Februari tahun ini, dengan kontrak itu dibuat pada atau sebelum 25 Mac tahun ini.
Menurut MinLaw, kesan Covid-19 mula jelas dirasakan dalam ekonomi Singapura pada 1 Februari manakala pasukan bertindak berbilang kementerian bagi menangani penularan Covid-19 memperkenal langkah lebih ketat - termasuk mengehadkan jumlah orang berkumpul di luar sekolah dan tempat kerja supaya tidak melebihi 10 orang - untuk membendung penularan Covid-19 pada 24 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg