FIRMA elektronik PCI, yang berpusat di sini, telah memenangi tender untuk membekalkan 300,000 dongel Token TraceTogether yang membolehkan lebih ramai orang disertakan dalam usaha jejak kontak Singapura selain mengekang penularan Covid-19.
Tender bernilai $6 juta itu diberikan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) pada 14 Mei lalu, menurut satu notis di portal pemerolehan pemerintah GeBiz, lapor The Straits Times.
Memberitahu akhbar tersebut, jurucakap Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) berkata pada Jumaat (12 Jun) bahawa GovTech telah memilih PCI untuk menghasilkan kumpulan pertama Token TraceTogether itu.
Beliau berkata SNDGG akan mengeluarkan tender bagi desain, penghasilan dan penghantaran kumpulan-kumpulan token selanjutnya.
Token diperkenalkan sedang jejak kontak akan menjadi lebih genting dalam usaha Singapura memerangi Covid-19, lebih-lebih lagi lebih banyak kegiatan akan dibenarkan semula dengan pelonggaran langkah pemutus litar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg