KUNJUNGAN secara fizikal ke hospital dan rumah jagaan akan terus ditangguhkan hingga 21 November, kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.

Penangguhan itu adalah untuk melindungi kapasiti penjagaan kesihatan dan warga emas yang rentan kerana kes Covid-19 di masyarakat semakin meningkat, kata MOH.

Sebelum ini, sekatan itu telah ditetapkan hingga Sabtu 23 Oktober bagi hospital dan Ahad 24 Oktober bagi rumah jagaan.

Pengumuman itu dilakukan sehari selepas pihak berkuasa berkata sekatan Covid-19 akan dilanjutkan sebulan hingga 21 November.

MOH berkongsi bahawa sejak dua minggu terakhir, kelonjakan kes Covid-19 dalam masyarakat telah menyebabkan peningkatan dalam kemasukan ke hospital.

Ia menyatakan bahawa terdapat beberapa kelompok Covid-19 baru dalam kalangan pesakit dan penghuni di hospital dan rumah jagaan.

Untuk mengurangkan risiko penularan virus itu, suntikan penggalak telah ditingkatkan bagi pekerja penjagaan kesihatan dan warga emas, termasuk mereka yang tinggal di rumah jagaan, tambah MOH.

Beberapa golongan pesakit akan dibenarkan satu pengunjung yang telah ditentukan sebelumnya, dengan satu lawatan setiap hari. MOH berkata bahawa hospital boleh memberikan pengecualian tersebut berdasarkan kes demi kes.

Ini termasuk pesakit yang berada dalam keadaan kritikal, kanak-kanak atau bayi, ibu yang akan melahirkan atau baru melahirkan, dan mereka yang memerlukan sokongan penjagaan tambahan daripada pengasuh.

Pengecualian juga diberikan bagi pesakit yang mempunyai ketidakupayaan mental atau ahli keluarga yang menjalani latihan pengasuh untuk menjaga orang yang tersayang dengan lebih baik selepas keluar dari hospital.

Pesakit dalam keadaan kritikal akan dibenarkan lima pengunjung yang telah ditentukan sebelumnya, dengan sehingga dua orang pengunjung dibenarkan pada satu masa, kata MOH.

Semua pengunjung harus menunjukkan hasil Ujian Pantas Antigen (ART) negatif yang diambil dalam 24 jam terakhir sebelum dibenarkan mengunjungi wad, tanpa mengira status vaksinasi mereka, kecuali mereka yang telah pulih dari Covid-19 dan dapat menunjukkan ujian praacara (PET) yang sah.

MOH menambah bahawa semua pengunjung yang diluluskan mesti memakai pelitup muka dengan kemampuan penapisan yang baik sepanjang masa, termasuk pelitup pembedahan dan pelitup yang boleh digunakan semula yang mempunyai dua lapisan kain.

MOH menambah bahawa semasa tempoh penangguhan ini, rumah jagaan boleh membenarkan lawatan, mengikut budi bicara mereka, untuk kes seperti penghuni yang sakit parah.

Pengunjung akan perlu mengikuti langkah selamat tertentu.

Rumah jagaan juga akan memberi tumpuan melaksanakan vaksinasi penggalak bagi penghuninya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti