KUOTA Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang terus rendah merupakan faktor penting yang akan membentuk pasaran kereta tahun depan, kata pengamat dan pemain industri.

Malah kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada 7 peratus kepada 8 peratus mulai 1 Januari ini akan memberi kesan minimum memandangkan GST hanya dikenakan kepada harga asas kereta dan bukan seperti Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) dan COE, tambah mereka.

Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berkata faktor paling penting yang akan membentuk pasaran kereta tahun depan adalah kuota COE.

"Kuota COE akan terus kekal rendah, berdasarkan kuota yang dikeluarkan 10 tahun lalu.

"Kenaikan COE akan memberi kesan minimum memandangkan GST hanya dikenakan pada harga asas kereta dan bukan pada ARF dan COE, yang sebenarnya membentuk harga utama kereta apabila premium COE itu tinggi," katanya.

Harga COE jatuh bagi kebanyakan kategori pada tender terakhir untuk 2022 yang ditutup minggu lalu, dengan hanya kereta bersaiz besar yang mencatat peningkatan.

Dr Theseira menambah bahawa kesan inflasi yang tinggi itu kompleks memandangkan inflasi utama bagi kereta privet di Singapura dikaitkan dengan kenaikan premium COE.

Menurut beliau, inflasi pada harga kenderaan di Singapura adalah minimum dan ditentukan dengan apa yang berlaku pada pasaran sejagat.

"Harga kenderaan yang naik di merata dunia akibat krisis rantaian bekalan sejak beberapa tahun lalu mungkin mula reda sekiranya permintaan sejagat bagi kenderaan baru mulai reda.

"Ini kerana beberapa ekonomi besar dijangka mengalami kemelesetan ekonomi atau ekonomi yang mencabar tahun depan - namun itu akan memberi kesan minimum berbanding dengan premium COE di Singapura," jelasnya lagi.

Atas sebab itu, seorang pemilik syarikat kenderaan di kawasan Upper Thomson yang hanya ingin perkenalkan dirinya sebagai Encik Mohd memilih untuk membuka sebuah syarikat kereta pajakan baru-baru ini.

Beliau yang turut menjual kereta mewah berkata kebanyakan pelanggannya kini merupakan pembeli kereta berjenama mewah dan mereka yang memilih kereta pajakan.

"Saya lihat para pelanggan yang tampil dapatkan kereta pajak terus naik sekitar 30 peratus kerana COE terus melambung.

"Mereka tidak katakan bahawa kerana GST meningkat maka mereka tidak mahu beli kereta.

"Pada masa yang sama kenderaan mewah masih dapat permintaan, meskipun tidak sebanyak dahulu, dan saya sendiri baru menjual sebuah kereta mewah berharga lebih $460,000," ujarnya yang telah berniaga kereta mewah sejak 20 tahun lalu.

Seorang pemilik kereta terpakai, Encik Azfar Hashim, 38 tahun, berkata beliau merancang 'bertahan' dengan keretanya yang sudah berusia 14 tahun untuk tempoh beberapa tahun lagi.

"Saya baru beli kereta ini pada Januari lalu, tapi sejak itu saya sudah belanjakan hampir $10,000 untuk penyenggaraannya.

"Jika saya tukar kepada kereta terpakai lain, saya tidak tahu apa risiko yang boleh dihadapi.

"Lagipun harga kereta baru melambung akibat COE dan harga kereta terpakai masih di peringkat tinggi juga, jadi tak rasa saya akan tukar pada yang baru atau terpakai buat masa i`ni," ujar pengurus digital di sebuah syarikat automotif itu lagi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti