Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kurang peluang berlakon, hos? Farhana temui hikmah...

Dek Covid-19, habiskan lebih masa bersama nenek yang ada demensia; teroka cara inovatif dalam talian untuk cari rezeki baru
Aug 26, 2020 | 5:30 AM
KELUARGA DIUTAMA: Farhana M Noor akur bukan mudah mencari keseimbangan dalam tugasan dan keluarga. Justeru, sekarang masanya beliau meluangkan lebih masa bersama keluarga terutama neneknya, Cik Mesma Dol yang menghadapi demensia. - Foto BH oleh KHALID BABA
KELUARGA DIUTAMA: Farhana M Noor akur bukan mudah mencari keseimbangan dalam tugasan dan keluarga. Justeru, sekarang masanya beliau meluangkan lebih masa bersama keluarga terutama neneknya, Cik Mesma Dol yang menghadapi demensia. - Foto BH oleh KHALID BABA -

SEBAGAI personaliti media, jadual Farhana M. Noor sering padat sehinggakan ada ketika tidak mempunyai cukup masa untuk diluangkan dengan keluarga.

Justeru sedang ramai mengadu tentang kekurangan pendapatan semasa Covid-19, pengacara dan pelakon popular itu menemui hikmah dalam cabaran pandemik.

Ini kerana Farhana, 29 tahun dapat menghabiskan masa di rumah bersama keluarga, khususnya neneknya yang menghadapi penyakit demensia di samping mencari cara inovatif dalam talian untuk mencari rezeki baru.

Semasa dihubungi, anak bongsu dua beradik itu menjelaskan bukan mudah mencari keseimbangan dalam tugasan dan keluarga.

"Saya ingat lagi di awal penglibatan, khususnya bila ada berlakon drama, apabila saya pulang, semua anggota keluarga sudah tidur dan bila mereka bangun, saya pula yang tidur.

"Tetapi kini, apabila semakin meningkat usia, saya merasakan cara kehidupan seperti ini tidak berbaloi," ujarnya yang sudah hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia media.

Farhana mula membuat perubahan sekitar lima tahun lalu, apabila berlaku satu kejadian yang tidak dapat dilupakan.

"Pada masa itu, ibu saya telah membawa nenek untuk pemeriksaan imbasan kerana beliau menunjukkan simptom demensia tetapi tidak memberitahu saya kerana tahu saya sibuk.

"Namun apabila sepupu saya bertanya khabarnya, saya sendiri pun tidak tahu. Saya merasa agak malu dan sedih sebab nenek tinggal bersama saya dan memang saya rapat kerana beliau menjaga saya dari kecil lagi.

"Selepas itu, saya beritahu diri ini tidak boleh berterusan dan bertekad buat perubahan dan meluangkan lebih banyak masa dengannya," cerita Farhana.

Mulai dari itu, beliau berusaha pulang lebih awal dan mengaturkan masa serta tugasannya dengan lebih baik.

Sekiranya ada acara di luar, beliau akan mengajak keluarganya bersama agar dapat meluangkan masa selepas acara.

Ini sekali gus mencerminkan prinsip Farhana yang amat mementingkan keluarganya.

Lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita, beliau berkata keluarga adalah tunggak penting yang menyokongnya sehingga ke hari ini.

"Jadi semasa Covid-19 ini, saya bersyukur dapat menghabiskan banyak masa di rumah dan beri perhatian kepada nenek dan keluarga.

"Apa pun pencapaian kita, saya ingin nasihatkan anak muda bahawa jangan lupa keluarga.

"Semakin saya meningkat usia dan bertemu dengan lebih ramai orang, saya benar-benar menghargai apa yang dilakukan ibu bapa untuk saya.

"Memang dulu saya selalu mengadu dengan nenek yang mereka sibuk bekerja, tetapi sekarang saya faham apa yang mereka lakukan untuk kebaikan saya.

"Kini mereka juga semakin berusia, saya pun mahu menjaga mereka," terangnya.

Sebagai personaliti media wanita, Farhana berkongsi ayahnya banyak memberi kata-kata nasihat dan motivasi.

"Saya selalu pegang dan ingat kata-kata ayah. Sebagai wanita, saya harus menjaga diri tidak kira setinggi mana pun pencapaian saya.

"Hormati diri sendiri dan juga hormati orang lain," ujarnya yang bakal berumah tangga tahun depan.

Menyentuh tentang cabaran di tengah-tengah pandemik Covid-19, Farhana berkata seperti ramai rakan artis lain, banyak acara dan program telah dibatalkan.

Namun beliau menerima banyak peluang bekerjasama dengan perniagaan untuk membuat reviu dan promosi produk makanan dan perkhidmatan secara dalam talian.

"Trend membeli dalam talian melonjak jadi banyak peniaga mahu memanfaatkannya.

"Selain itu banyak syarikat mencari cara baru untuk melayan dan menghiburkan pelanggan dari rumah. . Jadi saya terima peluang menjadi hos acara dalam talian seperti untuk Wisma Geylang Serai.

"Semua ini memaksa saya menjadi lebih kreatif - perlu menjadikan bilik sebagai studio dengan lampu dan segala macam!" kata Farhana.

Perubahan ini memang sesuatu yang baru untuknya.

"Keseronokan menjadi hos ialah apabila saya dapat berinteraksi dengan orang lain, dapat melihat sambutan dan reaksi mereka dan ini memberi saya tenaga.

"Tetapi sekarang bila buat berseorangan di rumah, tidak begitu seronok lah. Jadi perlu motivasi diri sendiri," ceritanya yang turut menghasilkan video bersama neneknya yang berusia 86 tahun.

"Jadi semasa Covid-19 ini, saya bersyukur dapat menghabiskan banyak masa di rumah dan beri perhatian kepada nenek dan keluarga. Apa pun pencapaian kita, saya ingin nasihatkan anak muda bahawa jangan lupa keluarga. Semakin saya meningkat usia dan bertemu dengan lebih ramai orang, saya benar-benar menghargai apa yang dilakukan ibu bapa untuk saya." - Farhana M. Noor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg