Topik diikuti
Pergi ke BHkuLagi 6 akan didakwa kerana langgar langkah pengurusan selamat di Clarke Quay
Lagi 6 akan didakwa kerana langgar langkah pengurusan selamat di Clarke Quay
LAGI enam individu berusia antara 19 tahun dengan 23 tahun akan didakwa di mahkamah hari ini atas dakwaan pelanggaran terang-terangan langkah pengurusan selamat (SMM) Covid-19 di Clarke Quay pada malam tahun baru.
Seramai 11 individu lain pula dikenakan denda $1,000 setiap seorang kerana melanggar peraturan pengurusan selamat, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) semalam.
Ini menyusuli siasatannya ke atas perhimpunan ratusan orang pada malam tahun baru dalam satu pesta spontan depan Riverside Point, dengan video menunjukkan orang ramai bersorak dan bernyanyi dikongsi di media sosial.
Pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) yang menangani Covid-19 berkata pada awal bulan lalu perhimpunan itu secara terang-terangan melanggar peraturan pengurusan selamat, yang berpotensi menyebabkan penularan besar virus Covid-19.
Seramai 10 orang menghadapi tuduhan berkaitan kejadian itu sejauh ini, sementara 15 orang telah dikenakan denda.
Pada Januari, Harjaz Singh, Verma Pulkit, Kotra Venkata Sai Rohankrishna dan William Alexander Brooks-Potts, yang berusia antara 19 tahun dengan 22 tahun, diheret ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan kerana gagal menjaga jarak selamat satu meter dan tidak memakai pelitup dekat Jambatan Read di Clarke Quay pada tengah malam 1 Januari.
Verma menyertai perhimpunan bersama lapan orang lain untuk meraikan tahun baru, sementara Singh dituduh menghadiri perhimpunan dengan sekurang-kurangnya enam individu lain bagi tujuan yang sama.
Kotra juga dituduh menyertai perhimpunan dengan memakai kostum Spider-Man dengan tiga individu lain, dengan dia berinteraksi bersama sekitar 20 orang.
Empat lelaki itu dijadualkan kembali ke mahkamah pada 8 Mac.
Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas individu lain yang terlibat, kata URA.
"Oleh sebab kita masih lagi di tengah-tengah pandemik, memang penting semua orang bertanggungjawab secara sosial dan mematuhi SMM semasa.
"Kami menggesa setiap orang memainkan peranan untuk melindungi kesihatan mereka dan orang lain," kata URA, sambil menambah bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu dan perniagaan bersalah jika perlu.
Mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan Covid-19 boleh dikenakan denda sehingga $10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.