Topic followed successfully
Go to BHkuLagi $940j diberi majikan di bawah Skim Kredit Gaji
Lagi $940j diberi majikan di bawah Skim Kredit Gaji
Meningkatkan pekerjaan kekal menjadi keutamaan: DPM Heng
Lagi $940j diberi majikan di bawah Skim Kredit Gaji
MENJELANG akhir Mac ini, pembayaran Skim Kredit Gaji (WCS) bernilai $940 juta akan diagihkan kepada lebih 98,000 majikan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kredit gaji yang diberikan sepanjang pandemik Covid-19 ini mencapai kepada lebih $2 bilion.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, berkata dalam satu pos Facebook bahawa meningkatkan pekerjaan kekal menjadi keutamaan sedang pemerintah melakukan setiap usaha untuk menangani pandemik dan mengubah ekonomi dan perniagaan.
"WCS adalah antara cara untuk merangsang pekerja kita dengan menyokong perniagaan bagi menyediakan kenaikan gaji kepada pekerja Singapura," kata beliau.
WCS diperkenalkan pada 2013 sebagai skim tiga tahun dan dilanjutkan sehingga 2020 bagi menyokong perniagaan dalam usaha transformasi dan menggalak perkongsian pertumbuhan produktiviti dengan pekerja.
Dalam Belanjawan 2021, ia dilanjutkan untuk setahun lagi pada kadar pembiayaan bersama 15 peratus untuk menyokong lebih lanjut kenaikan gaji bagi membantu syarikat membina tenaga kerja setempat dan bangkit lebih kukuh daripada Covid-19.
Ini setelah ia dipertingkatkan pada 2020 dalam Belanjawan Perpaduan apabila pembiayaan bersama pemerintah bagi kenaikan gaji yang layak pada 2019 dan 2020 dinaikkan sebanyak 5 peratusan mata kepada masing-masing 20 peratus dan 15 peratus.
Had gaji bulanan kasar untuk pekerja juga dinaikkan daripada $4,000 kepada $5,000 untuk kededua tahun, membolehkan lebih ramai layak bagi kredit gaji itu.
Lebih $1 bilion dalam bentuk kredit gaji diagihkan kepada lebih 95,000 majikan pada 2020 bagi kenaikan gaji pada 2019.
Pembayaran tambahan telah dibuat pada Jun 2020, di samping pembayaran tahunan dibuat pada Mac 2020.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) berkata menerusi pembayaran akan datang pada Mac, pemerintah akan membiayai bersama 15 peratus daripada kenaikan gaji yang layak yang diberikan dari 2017 hingga 2020 kepada lebih 800,000 pekerja setempat, yang meraih pendapatan bulanan kasar sehingga $5,000.
Ini akan menyokong kenaikan gaji dan memberi manfaat kepada lebih 98,000 majikan.
Encik Heng berbesar hati melihat banyak majikan, walaupun terpaksa menangani tekanan dan hambatan disebabkan pandemik, masih lagi terus menjalankan peranan mereka meningkatkan kehidupan pekerja mereka.
"Ini adalah masa yang tidak menentu bagi kebanyakan pekerja dan perniagaan.
"Saya menggalak majikan supaya terus menggunakan ini dan skim lain untuk mereka semula pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka," tulis beliau.
"Dengan terus mengutamakan pekerja kita dalam apa sahaja yang kita lakukan, perniagaan dapat membina ikatan lebih kukuh dengan pekerja mereka dan bangkit lebih kukuh bersama dalam dunia pasca pandemik."
Majikan yang layak akan menerima surat dari Iras selewat-lewatnya pada 31 Mac bagi memaklumkan tentang jumlah pembayaran mereka.

