SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Langgar langkah selamat: Dua premis F&B diarah tutup

Langgar langkah selamat: Dua premis F&B diarah tutup

Jan 7, 2021 | 5:30 AM

Langgar langkah selamat: Dua premis F&B diarah tutup

LANGGAR PERATURAN: Meltz Resto-Bar didapati melakukan beberapa kesalahan, termasuk membolehkan kumpulan seramai 10 individu duduk bersama di satu meja, dan gagal melakukan pemeriksaan suhu dan melaksanakan SafeEntry bagi pelanggan. - Foto MSE
LANGGAR PERATURAN: Meltz Resto-Bar didapati melakukan beberapa kesalahan, termasuk membolehkan kumpulan seramai 10 individu duduk bersama di satu meja, dan gagal melakukan pemeriksaan suhu dan melaksanakan SafeEntry bagi pelanggan. - Foto MSE -

DUA perniagaan makanan dan minuman (F&B) telah diarah tutup, dan tiga lagi perniagaan serta 15 individu dikenakan denda kerana didapati melanggar langkah-langkah pengurusan selamat semasa pemeriksaan penguatkuasaan dipertingkat baru-baru ini.

Dua perniagaan yang diarah tutup itu ialah Meltz Resto-Bar di 24 Race Course Road, dan Club V5 Tycoon di 21 Cuscaden Road, Ming Arcade.

Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam kenyataannya semalam berkata kesalahan telah dilakukan di dua perniagaan itu pada 31 Disember lalu.

Meltz Resto-Bar didapati melakukan beberapa kesalahan pada 9.25 malam, termasuk membolehkan kumpulan seramai 10 individu duduk bersama di satu meja, dan gagal melakukan pemeriksaan suhu dan melaksanakan SafeEntry bagi pelanggan.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) telah mengeluarkan arahan bagi perniagaan itu menutup premisnya selama 10 hari dari 1 hingga 10 Januari ini.

Club V5 Tycoon pula didapati telah membenarkan pelanggan minum minuman keras pada 11.15 malam.

Ia juga menerima arahan dari STB untuk menutup premisnya selama 10 hari dari 1 hingga 10 Januari ini.

Sementara itu, tiga perniagaan F&B lain - Club Lux di Orchard Plaza, Epiphyte di 47 Neil Road, dan TCC di International Building - dikenakan denda $1,000 setiap satu kerana melanggar langkah pengurusan selamat.

Ini seperti membolehkan kumpulan pelanggan duduk dengan jarak kurang 1 meter daripada kumpulan yang berlainan, gagal memastikan jarak 1 meter antara pelanggan yang sedang beratur, dan menyediakan permainan kepada pelanggan meskipun ia bukan pusat hiburan.

Seramai 15 individu pula dikenakan denda $300 seorang kerana berkumpul dan duduk dalam kumpulan melebihi jumlah individu yang dibenarkan dalam fasa kedua dan ketiga di perniagaan F&B.

Fasa kedua membenarkan kumpulan sehingga lima orang duduk semeja manakala fasa ketiga pula membenarkan kumpulan sehingga lapan orang duduk bersama.

Secara keseluruhannya, lapan perniagaan F&B diarah tutup manakala 26 denda dikeluarkan kepada perniagaan F&B dan 51 individu dikenakan denda kerana melanggar langkah pengurusan selamat semasa musim perayaan hujung tahun, kata MSE.

Kementerian itu mengingatkan orang ramai bahawa meskipun Singapura telah memasuki fasa ketiga pembukaan semula negara, masih terdapat penularan Covid-19 setempat dalam masyarakat.

Oleh itu, ia menasihatkan perniagaan dan orang awam agar terus mematuhi langkah pengurusan selamat untuk memastikan kes penularan masyarakat kekal rendah.

"Kami menggesa setiap orang untuk terus bertanggungjawab secara sosial dengan keluar dalam saiz kumpulan yang kecil, dan memakai pelitup pada setiap masa di premis F&B, melainkan mereka minum atau makan.

"Ini akan membantu melindungi kesihatan awam sementara membolehkan perniagaan terus dibuka. Pemerintah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pengendali dan individu salah yang melanggar langkah pengurusan selamat," kata MSE.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg