Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah tegas demi 'putuskan litar' jangkitan Covid-19 di S'pura: PM Lee

Kebanyakan tempat kerja ditutup; sekolah ikuti pembelajaran penuh dari rumah; hanya khidmat penting diteruskan
Apr 4, 2020 | 5:30 AM
ENCIK LEE HSIEN LOONG
ENCIK LEE HSIEN LOONG -

KEBANYAKAN tempat kerja di sini akan ditutup mulai Selasa depan, dan sekolah akan melaksanakan sepenuhnya pembelajaran di rumah bermula Rabu depan, dengan kedua-dua langkah itu akan berlangsung selama sebulan hingga 4 Mei.

Namun, perkhidmatan penting seperti penjualan makanan di pasar raya dan kedai, pengangkutan awam serta penjagaan kesihatan akan kekal dibuka.

Jarak selamat yang dipertingkat itu adalah langkah paling tegas yang diambil Singapura sejauh ini, untuk mengatasi trend kes jangkitan Covid-19 setempat yang semakin meningkat.

Mengumumkannya dalam ucapan kepada negara semalam, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong berkata langkah tersebut bertujuan menjadi 'pemutus litar' (circuit-breaker) bagi mengurangkan risiko penularan yang besar.

"Keadaan masih terkawal. Tetapi pemerintah bimbang sekiranya kes baru terus meningkat, mungkin kemudian bilangan kes akan melonjak dengan tinggi," kata Encik Lee dalam ucapan bahasa Melayu.

Beliau turut bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina dalam ucapan nasional ketiganya mengenai Covid-19 yang disiarkan secara langsung di media sosial, televisyen dan radio.

Langkah itu diambil sedang terdapat 65 kes baru di Singapura hingga 12 tengah hari semalam - sembilan diimport, 40 kes setempat berkaitan kes lalu, dan 16 kes setempat yang tiada kaitan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,114 kes.

Pada mulanya, banyak kes baru itu diimport dari luar negara - kebanyakannya warga Singapura yang pulang - tetapi bilangan kes setempat meningkat minggu lalu, kata Encik Lee.

Dalam separuh daripada kes setempat itu, pihak berkuasa tidak tahu sumbernya.

"Ini mencadangkan bahawa terdapat lebih ramai orang di luar sana yang dijangkiti tetapi belum dikenal pasti, dan merekalah yang menyebarkan virus itu kepada orang lain," ujar Encik Lee.

Oleh itu, semua tempat kerja akan ditutup kecuali perkhidmatan penting dalam bidang khidmat kesihatan dan sosial; perkhidmatan makanan; tenaga dan gas; pengangkutan dan logistik; keselamatan dan pengurusan prasarana; perbankan dan kewangan; pengurusan air; perhubungan dan penerangan; perkilangan dan pengagihan; serta beberapa perkhidmatan lain seperti juruelektrik.

Sedang kedai makanan seperti restoran, pusat penjaja, kedai kopi akan kekal dibuka, pelanggan hanya boleh membawa pulang makanan dan tidak boleh makan di kedai tersebut.

Pemerintah turut mengumumkan semua sekolah rendah, menengah, prauniversiti, institusi pengajian tinggi, dan sekolah pendidikan khas akan beralih kepada pembelajaran di rumah.

Semua prasekolah, tadika dan pusat jagaan pelajar akan menggantung khidmat mereka dalam tempoh itu.

Ibu bapa yang bekerja dalam perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan yang tidak boleh mendapatkan penjagaan untuk anak mereka boleh menghubungi pihak sekolah.

Dalam satu sidang akhbar selepas ucapan Encik Lee, Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong - kedua-duanya pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian - menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah, dan hanya keluar untuk perkhidmatan penting.

"Peraturannya mudah, dan kami berharap semua memandang serius perkara ini.

"Tiada lagi peraturan mengenai 10 orang (dalam satu perhimpunan) atau apa pun bilangannya - hanya duduk di rumah," kata Encik Wong.

Pemerintah akan mengumumkan langkah tambahan untuk membantu perniagaan dan keluarga minggu depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg