BERBADAN gemuk sering menyebabkan pegawai kadet pelatih (OCT) Muhammad Idham Husni meragui diri sendiri dan berasa bimbang untuk melakukan latihan fizikal, lebih-lebih lagi ketika beliau baru menyertai Perkhidmatan Negara (NS).

Meskipun beliau kemudian terpilih untuk menjalani latihan Sekolah Pegawai Kadet (OCS), Encik Idham, 21 tahun, tetap kurang percaya diri.

Namun, hasil latihan berterusan yang dilalui, secara perlahan-lahan telah menyedarkannya bahawa semua orang berpeluang menikmati hidup dengan lebih baik asalkan orang itu bersedia mahu terus berlatih dan belajar.

Encik Idham merupakan antara yang baru-baru ini tamat kursus OCS, dan diraikan dalam majlis yang turut menampilkan kemunculan Presiden Halimah Yacob menerusi video.

Encik Idham yang sebelum ni mempunyai berat badan 80 kilogram berkata beliau tidak sangka dapat menyelesaikan latihan OCS.

Latihan fizikal intensif untuk menurunkan berat badannya hari demi hari menunjukkan hasil, dan ini membakar semangatnya mahu terus berusaha mencapai prestasi terbaik.

"Semasa masuk NS, saya disenaraikan di bawah kategori PES-BP untuk menjalani program Latihan Asas Ketenteraan (BMT) kerana saya gemuk, jadi hasrat untuk ke OCS memang tidak kesampaian.

"Tetapi setelah menjalani latihan yang intensif menurunkan berat badan, saya telah berjaya meraih anugerah perak semasa Ujian Kecekapan Jasmani Individu (IPPT) kedua semasa BMT.

"Ketika itu, saya pula mula sedari bahawa kerja keras meninggalkan kesan dan ia mendorong saya terus mencapai tahap yang lebih tinggi setiap masa," kata Encik Idham sambil menambah bahawa beliau telah secara beransur-ansur mengurangkan berat badannya dan mengejar mata yang lebih tinggi bagi setiap IPPTnya.

Dengan usaha tekunnya, beliau akhirnya berjaya meraih anugerah emas untuk IPPT dalam pusingan keduanya di OCS.

Menurutnya, dorongan komander semasa tempoh perkhidmatan secara peribadi, rakan-rakan serta sokongan keluarga, banyak membantunya mencapai kesihatan fizikal yang lebih baik.

"Mereka membantu saya dengan melakarkan rancangan latihan. Set latihan fizikal tambahan ini dilakukan selain daripada program biasa yang sudah cukup berat.

"Selain daripada itu, saya juga mengawal diet saya. Saya tahu bahawa saya harus menurunkan beberapa kilogram untuk membantu saya mencapai matlamat emas IPPT saya.

"Oleh itu, saya mengurangkan karbohidrat semasa makan, makan lebih sedikit makanan ringan dan lebih prihatin tentang pengambilan makanan saya," ujarnya yang kini mempunyai berat badan 64 kilogram.

Bersikap positif, Encik Idham berbesar hati diberi peluang menjalani latihan di OCS dan masih merancang terus memperbaiki dirinya.

Walaupun kesihatan fizikal antara faktor yang utama di OCS, beliau berkata watak dan corak pemikiran juga penting dalam latihan.

"Jujurlah pada diri, tujuan, kepercayaan, nilai dan tujuan anda.

"Kerana ini menunjukkan watak sebenar seseorang dan inilah nilai yang dicari untuk pegawai.

"Pada asasnya, apa yang ada dalam diri anda adalah penting," katanya yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang dalam Kejuruteraan Mekanikal.