PEMERINTAH akan membuat penilaian menyeluruh ke atas pandemik Covid-19 dan respons yang dibuatnya - bukan hanya dari segi penularan di dormitori, tetapi juga keseluruhan krisis dari awal hingga akhir.
Ini akan membantunya mengambil iktibar dan membuat pembaikan, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, pada Isnin (4 Mei).
Dalam kenyataan menteri yang dibentangkan di parlimen itu, Encik Wong berkata sudah menjadi kelaziman bagi Pemerintah untuk berbuat demikian setiap kali selepas menghadapi krisis.
Beliau memberi contoh tentang bagaimana Pemerintah menangani penularan Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003 dan bagaimana segala yang dipelajari ketika itu bantu membantu dalam menangani pandemik Covid-19.
"Bagaimanapun kami masih tengah hangat memeranginya," kata Encik Wong, yang berkata Pemerintah harus memberi sepenuh tumpuan buat masa sekarang ke atas keutamaan utamanya, yakni memastikan penularan dapat dikawal dalam dua segi, dalam lingkungan masyarakat dan dalam asrama pekerja asing, agar Singapura dapat kembali meneruskan aktiviti secara bertahap-tahap.
Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Profesor Madya Dr Walter Theseira dan Cik Anthea Ong, yang bertanya jika pemerintah akan melihat satu jawatankuasa siasatan (COI) untuk menyiasat kes-kes penularan Covid0-19 di kalangan pekerja asing di asrama pekerja, mengenalpasti tanggungjawab yang dipikul pelbagai pemegang taruhan, dan mengemukakan semakan dasar, antara lainnya.
"Apabila semua ini berakhir, kami tentu sekali akan mengimbas dan belajar dari pengalaman," kata Encik Wong, yang memberi jaminan bahawa Pemerintah mahu terus menerima maklum balas dan saranan bagi menambah baik, dan menyemak serta mengambil iktibar dari pengalaman Covid-19.
"Saya tidak sangsi bahawa kita akan ketemu banyak perkara yang kita boleh lakukan dengan lebih baik lagi, dan pelbagai perubahan yang harus dibuat agar lebih bersedia di masa depan."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg