Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LBKM lancar Dana Ihsan Covid-19

May 6, 2020 | 5:30 AM
-

PELAJAR dan keluarga mereka yang menghadapi masalah kewangan ekoran penularan Covid-19 di negara ini kini boleh mendapatkan bantuan kewangan.

Mereka boleh dibantu melalui Dana Ihsan Covid-19 yang dibentuk Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Dana itu akan memberi sokongan dan bantuan kewangan pertubuhan amal itu kepada pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah atau keluarga yang paling terjejas oleh penularan koronavirus itu.

Pelajar boleh manfaatkan dana itu untuk membiaya baki kos - selepas subsidi daripada agensi lain - bagi mendapatkan alat digital dan sumber lain yang diperlukan bagi membolehkan pembelajaran dari rumah (HBL), ujar LBKM dalam kenyataannya semalam.

Keluarga yang mempunyai anak bersekolah dan menghadapi masalah besar dari segi kewangan semasa tempoh sukar ini boleh juga mendapatkan bantuan dana LBKM ini.

Presiden LBKM, Encik Suhaimi Salleh, berkata pertubuhan itu telah mengetepikan dana awal sebanyak $15,000 untuk membantu pelajar bagi keperluan pendidikan mereka dalam masa sukar ini.

"Kami yakin kami harus mencari jalan dalam apa jua cara bagi kami membantu pelajar yang memerlukan dalam pendidikan mereka.

"Cabaran kewangan mereka tidak harus menjadi halangan dalam usaha meneruskan pendidikan mereka.

"Dalam hal ini, kami akan bekerjasama dengan agensi pemerintah dan pertubuhan Melayu/Islam lain untuk memastikan tidak ada kelewahan dalam bantuan yang diberikan, memandangkan sumber kami yang terhad."

Pada masa sama, LBKM ingin menggalak orang ramai agar menderma kepada dana tersebut supaya lebih ramai pelajar yang terjejas dapat dibantu.

Satu tajaan korporat telah tampil menderma $15,000, memadankan dengan jumlah dana awal LBKM itu.

LBKM berharap lebih ramai penderma dapat menderma dan mencapai sasaran sehingga $100,000 bagi Dana Ihsan Covid-19.

Mereka yang mahu menderma boleh melakukannya melalui:

- Dalam talian @ https://www.giving.sg/lbkm;

- PayNow kepada UEN S66SS0027A;

- Pemindahan bank kepada DBS Autosave Account No: 017-903045-5.

LBKM turut memberi pelbagai biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar di pelbagai peringkat yang belajar di institusi pendidikan tempatan mahupun luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg