Topic followed successfully
Go to BHkuLebih banyak kelonggaran sekatan Covid-19
Lebih banyak kelonggaran sekatan Covid-19
• Jumlah dibenar hadir majlis kahwin, upacara pengebumian dan persembahan secara langsung ditambah mulai 24 Apr • Lebih ramai pekerja dapat kembali ke tempat kerja mulai 5 Apr
Lebih banyak kelonggaran sekatan Covid-19

LEBIH ramai orang akan dapat menghadiri acara awam, termasuk majlis perkahwinan, upacara pengebumian dan persembahan secara langsung mulai 24 April, dengan pelaksanaan pengujian sebelum acara bagi hadirin yang belum divaksin, sedang Singapura terus melonggarkan sekatan Covid-19.
Lebih ramai pekerja yang buat masa ini bekerja dari rumah pula akan dapat kembali ke tempat kerja mulai 5 April, sedang tempat kerja beralih daripada bekerja dari rumah sebagai aturan biasa ke cara bekerja yang lebih fleksibel.
Demikian diumumkan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 dalam satu sidang media semalam.
"Sedang kita melancarkan vaksinasi ke bahagian penduduk yang lebih besar, MTF juga sedang meneliti bagaimana kita dapat membolehkan lebih banyak kegiatan dapat disambung untuk individu yang telah divaksin. Sedang lebih ramai kita divaksin, kita boleh menjangkakan lebih banyak pembukaan semula," kata Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama MTF.
Antara kegiatan yang dibenarkan menerima lebih ramai hadirin ialah majlis perkahwinan yang akan dapat menerima hingga 250 hadirin secara keseluruhan, naik daripada 100 masa ini.
Semua tetamu dan pengantin bagaimanapun perlu menjalani pengujian sebelum acara, dan tetamu perlu dibahagi mengikut zon atau slot masa dengan had 50 tetamu setiap satu.
Majlis melibatkan kurang 100 hadirin tidak memerlukan pengujian sebelum acara.
Pengujian ini menghendaki peserta diuji sebelum menghadiri acara dan tidak lebih daripada 24 jam sebelum akhir penyertaan mereka di acara itu.
Pengujian boleh dilakukan di lokasi acara atau di klinik atau kemudahan pengujian khusus.
Hanya peserta dengan keputusan negatif akan dibenarkan mengambil bahagian dalam acara itu.
Sementara itu, persembahan secara langsung dan acara perniagaan- ke-perniagaan serta acara sukan yang sedang dirintis pula akan dibenarkan menerima hingga 750 hadirin sekiranya mereka melaksanakan pengujian sebelum acara, atau hingga 250 hadirin jika mereka tidak melaksanakan pengujian.
Bagaimanapun, individu yang telah menerima kedua-dua dos vaksin, dan sekurang-kurangnya dua minggu telah berlalu selepas dos kedua, boleh menghadiri acara tersebut tanpa perlu menjalani ujian.
Selain itu, lebih ramai orang juga akan dibenarkan menghadiri upacara pengebumian mulai 24 April, naik ke 50 pada satu-satu masa berbanding 30 kini.
Sementara itu, hingga 75 peratus pekerja yang buat masa ini bekerja dari rumah akan dapat kembali ke tempat kerja pada satu-satu masa mulai 5 April, naik daripada 50 peratus kini.
Had masa yang bagi pekerja berada di tempat kerja juga akan ditiadakan.
Majikan bagaimanapun digalakkan untuk meneruskan aturan bekerja dari rumah, dan perlu terus menjarakkan masa mula bekerja dan melaksanakan masa bekerja fleksibel mana mungkin.
Langkah ini akan membantu mengurangkan risiko penyebaran dengan mengurangkan interaksi di tempat kerja dan mengurangkan perkumpulan orang ramai di ruang awam atau dekat tempat kerja dan di tempat awam, termasuk pengangkutan awam, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya.
Susunan pasukan terpisah juga tidak lagi diwajibkan, tetapi syarikat boleh terus mengamalkannya jika mahu, kata MOH.
LAPORAN LANJUT: Lebih ramai pekerja boleh kembali ke tempat kerja mulai 5 April

