Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Leftenan kolonel pimpin 500 askar dalam latihan di Australia

Nov 18, 2024 | 5:30 AM
Antara tugasan Leftenan Kolonel (LTC) Mohamad Fahrul Saaid ialah memimpin pasukan tentera seramai 500 orang daripada Battalion Guards Ketiga (3 Guards).
Antara tugasan Leftenan Kolonel (LTC) Mohamad Fahrul Saaid ialah memimpin pasukan tentera seramai 500 orang daripada Battalion Guards Ketiga (3 Guards). - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Memimpin pasukan tentera seramai 500 orang bukanlah satu tugas mudah.

Namun, dengan usaha dan kerja keras, tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik.

Inilah yang dilalui Leftenan Kolonel (LTC) Mohamad Fahrul Saaid, dalam peranannya sebagai Pegawai Komand (CO) bagi Battalion Guards Ketiga (3 Guards).

Bercakap kepada Berita Harian (BH), bapa dua anak itu berkongsi bahawa motivasinya untuk berkecimpung dalam bidang ketenteraan ditanamkan komandernya sewaktu beliau menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Sejak itu, beliau bertekad mengembangkan potensi rakyat Singapura.

“Ketika saya mula menjalani NS (pada 2008), saya mula berubah sebagai individu, dan ini merupakan sesuatu yang saya perolehi daripada komander saya semasa menjalani NS.

“Saya percaya mereka berjaya membuat perubahan dalam diri saya dan saya boleh membuat perubahan pada orang lain,” kongsi LTC Fahrul, yang kini berusia 35 tahun.

Dalam kerjaya ketenteraannya sejauh ini, LTC Fahrul telah mencatat pelbagai pencapaian, antaranya menjadi rekrut terbaik di Latihan Asas Tentera (BMT) dan meraih kompeni terbaik di Sekolah Kadet Pakar (SCS).

Beliau juga diterima masuk ke Sekolah Pegawai Kadet (OCS) dan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Australia dari 2010 hingga 2014.

Keitka itu, beliau menuntut di Akademi Tentera Pertahanan Australia untuk mendalami bidang ketenteraan.

Pada 2022, beliau mendapat pentauliahan menjadi Pegawai Komand dari Kolej Komando dan Staf Australia.

LTC Fahrul kini merupakan antara 1,900 tentera Angkatan Pertahanan Australia (ADF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang mengikuti Latihan Trident 2024 di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Australia.

Antara cabaran yang beliau hadapi memimpin pasukan di latihan tersebut ialah memastikan tentera dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Beliau percaya ia tidak mampu dilalui tanpa sokongan anggota tentera yang lain.

“Mereka bekerja tanpa henti dari pagi ke malam untuk memastikan urusan pentadbiran berjalan dengan lancar. Kecekapan mereka telah memberikan saya keyakinan semua perkara berjalan dengan lancar,” jelas LTC Fahrul.

Beliau juga harus memastikan tentera ADF turut memahami tugasan yang disampaikan oleh SAF kerana mereka mempunyai cara mereka yang sendiri.

Dalam pada itu, hubungan antara tentera ADF dengan SAF juga semakin rapat, dengan anggota kededua tentera itu sering berjenaka dan bermain sukan seperti ragbi dan bola sepak bersama.

“Kami mempunyai frekuensi yang sama... dan kami berkongsi dengan mereka tentang Drop Bear (watak koala yang direka dalam cerita rakyat Australia).

“Ini adalah jenis jenaka yang kami ada dengan orang Australia,” katanya.

Ketika saya mula menjalani NS (Perkhidmatan Negara pada 2008), saya mula berubah sebagai individu, dan ini merupakan sesuatu yang saya peroleh daripada komander di NS. Saya percaya mereka berjaya membuat perubahan dalam diri saya dan saya boleh membuat perubahan pada orang lain.
Leftenan Kolonel (LTC) Mohamad Fahrul Saaid, yang mengikuti Latihan Trident 2024 di Shoalwater Bay, Australia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg