SEORANG lelaki berusia 44 tahun telah diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam beberapa siri rompakan di sini.
Dalam kenyataannya hari ini, pihak polis berkata pada 28 April lalu, mereka menerima laporan mengenai kecurian seekor burung dan sangkarnya yang ditinggalkan di luar unit perumahan di Pasir Ris Street 21.
"Menerusi siasatan yang dijalankan, dengan bantuan kamera litar CCTV dan kamera polis, pegawai dari Divisyen Polis Bedok telah mengesahkan identiti lelaki berkenaan dan menahannya pada 14 Mei," kata polis.
Menurut polis lagi, lelaki tersebut turut dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya dua kes kecurian lain di kawasan perumahan Tampines dan Pasir Ris.
Siasatan masih dijalankan.
Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg