Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel 19 bulan rakam video tak senonoh tuan rumah wanita, anaknya

Dec 30, 2024 | 6:42 PM
Mahkamah mendengar bahawa pada pagi 8 April, seorang penyewa lelaki warga Malaysia berusia 40 tahun telah menyelinap masuk ke bilik tidur tuan rumah wanitanya untuk menghendap wanita itu ketika beliau sedang mandi.
Mahkamah mendengar bahawa pada pagi 8 April, seorang penyewa lelaki warga Malaysia berusia 40 tahun telah menyelinap masuk ke bilik tidur tuan rumah wanitanya untuk menghendap wanita itu ketika beliau sedang mandi. - Foto PIXABAY

Seorang penyewa dijatuhi hukuman penjara selepas dia menyalah guna kepercayaan tuan rumahnya dengan mengambil video tidak senonoh wanita tersebut dan anaknya ketika budak itu berusia antara tiga dengan empat tahun.

Lelaki warga Malaysia itu didapati mempunyai video dan tangkapan skrin bertarikh dari 2018. Sebanyak 74 tangkapan skrin diambil daripada video tuan rumah itu yang dirakamnya.

Pada 30 Disember, lelaki berusia 40 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 19 bulan selepas dia mengaku bersalah bagi dua kesalahan voyeurisme (melakukan kegiatan seks untuk memperoleh keseronokan atau kepuasaan seks) dan satu tuduhan menghina kehormatan seorang wanita.

Dua tuduhan lain diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Lelaki itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lynda Lee berkata lelaki itu menyewa sebuah bilik tidur di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) wanita berkenaan selama 10 tahun apabila dia ditangkap melakukan perbuatan itu.

Tuan rumahnya tinggal di flat itu bersama suami dan anak perempuan mereka.

Mahkamah diberitahu bahawa pada pagi 8 April, lelaki itu berada dalam flat bersama wanita tersebut, yang berusia 45 tahun, apabila dia mendengar bunyi air mengalir.

Apabila dia menyedari tuan rumahnya sedang mandi, dia menyelinap masuk ke dalam bilik wanita itu dan memegang telefonnya di bawah pintu tandas dengan kamera video menghadap ke atas.

DPP Lee berkata lelaki itu terlalu asyik hingga dia tidak menyedari mangsa hendak keluar tandas.

Wanita tersebut mendapati lelaki itu mencangkung di atas lantai dengan telefonnya dihalakan ke arahnya.

Lelaki itu, yang bekerja sebagai operator mesin aeroangkasa di Singapura, lari semula ke bilik tidurnya sedang wanita itu menjerit.

Siasatan mendedahkan lelaki itu menyimpan 24 video dan 74 tangkapan skrin dalam 14 alat – termasuk empat telefon bimbit, enam pemacu pena, atau thumb drive, tiga kad memori dan satu pembaca kad memori.

Dia mengaku merakam video voyeuristik anak perempuan wanita itu.

Lelaki itu ditemui dengan beberapa video anak perempuan itu dalam pelbagai keadaan tidak berpakaian.

Di bawah undang-undang, dia boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda dan disebat kerana sengaja mengintai seseorang melakukan perbuatan intim atau peribadi tanpa kebenarannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg