SEORANG lelaki yang berusia 59 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam membunuh seorang lelaki berusia 61 tahun.

Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes pembunuhan di sebuah unit kediaman di Redhill Close di Bukit Merah pada 10.50 pagi Jumaat.

"Pegawai mendapati seorang lelaki berusia 61 tahun terbaring tidak bergerak dengan beberapa kesan luka di dalam unit. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian," kata polis dalam satu kenyataan.

Suspek yang merupakan penyewa flat tersebut bersama-sama mangsa, akan didakwa di mahkamah pada Sabtu atas tuduhan membunuh.

Pihak polis dilihat menjalankan siasatan di sebuah flat di tingkat lima Blok 90 di Redhill Close ketika The Straits Times (ST) tiba kira-kira 2 petang semalam.

Unit di tepi tangga itu dipercayai sebuah flat satu bilik.

Satu bahagian koridor yang menuju ke unit itu telah dikepung pihak polis.

Seorang penduduk di tingkat empat, yang hanya mahu dikenali sebagai 'Encik Man', berkata polis mendekatinya kira-kira 1 tengah hari untuk bertanya sama ada dia mendengar sebarang teriakan atau pertengkaran yang datang dari arah flat itu sebelum kejadian.

"Tangga di sebelah unit saya telah dikepung dan saya fikir mungkin ada yang terjatuh. Saya terkejut membaca di 'online' tentang pembunuhan itu," kata Encik Man, 35 tahun yang bekerja dalam industri pembersihan kepada ST.

Beliau turut menambah: "Ramai orang tua tinggal di estet ini dan biasanya sangat sunyi. Perkara seperti itu tidak berlaku di sini." Penduduk lain di blok itu berkata mereka melihat polis dan ambulans tiba kira-kira jam 10 pagi. Pengusaha membawa keluar beg mayat dari unit itu pada 4.30 petang Jumaat. Kesalahan membunuh membawa hukuman mati.

"Tangga di sebelah unit saya telah dikepung dan saya fikir mungkin ada yang terjatuh. Saya terkejut membaca di 'online' tentang pembunuhan itu," - Penduduk di tingkat empat, Redhill Close, Encik Man.