Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki rogol remaja 13 tahun, paksa minum vodka dipenjara 28 tahun, rotan 24 kali
Lelaki rogol remaja 13 tahun, paksa minum vodka dipenjara 28 tahun, rotan 24 kali
Lelaki rogol remaja 13 tahun, paksa minum vodka dipenjara 28 tahun, rotan 24 kali

SEORANG lelaki berusia 35 tahun yang memaksa seorang remaja berusia 13 tahun meminum vodka dan kemudian merogol dan menyerangnya secara seksual selama dua jam dihukum penjara 28 tahun dan 24 sebatan rotan pada Jumaat (19 Mac). Muhammad Alif Ab Rahim mengaku bersalah atas satu tuduhan merogol seorang budak bawah umur dan dua tuduhan serangan seksual, yang berlaku antara 9 dengan 11 malam pada 24 Oktober 2017, di Taman Kallang Riverside. Alif, yang memulakan kegiatan jenayahnya pada usia 21 tahun, telah dipenjara lima kali antara 2007 dengan 2014 atas kesalahan mencuri, menipu, merompak, pecah amanah dan serangan seksual. Mangsa, yang kini berusia 16 tahun, tidak dinamakan bagi melindungi identitinya. Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa mangsa bergelut dan menangis sepanjang kejadian itu, tetapi Alif memukulnya, berulang kali menghalangnya apabila mangsa cuba melarikan diri, dan menutup mulutnya apabila dia menjerit. Alif juga mengancamnya dua kali selepas serangan itu. Mahkamah diberitahu bahawa mangsa adalah kawan anak lelaki teman wanita Alif pada waktu itu. Alif sering bermalam di rumah teman wanitanya itu dan mangsa memanggilnya "pak cik".

