Topic followed successfully
Go to BHkuDermasiswa ubah kehidupan penerima
SAMBUTAN Ramadan kali ini sangat istimewa buat Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) yang meraikan ulang tahun ke-55 sebagai sebuah badan yang membina masyarakat menerusi pemberian dermasiswa dan biasiswa.
Sumbangan LBKM ke arah pembangunan masyarakat telah memberi impak positif kepada penerima, sekali gus mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
Berkongsi manfaat yang diperolehi ketika masih berada di bangku sekolah, Encik Sujimy Mohamad, Pengarah Urusan Screenbox Pte Ltd, berkata:
"Semasa peringkat sekolah rendah, saya telah menerima dermasiswa daripada LBKM. Penyampaian dermasiswa itu disaksikan oleh ibu saya sendiri dan kami sangat terharu dengan sokongan yang menjadi inspirasi agar saya terus berusaha melakar kejayaan.
"Dermasiwa daripada LBKM bukan sekadar bantuan semata-mata, bahkan ia pencetus semangat kepada penerima dan keluarga mereka demi mencapai impian yang lebih baik pada masa akan datang.
"Sebagai balasan, penerima akan menyumbang semula manfaat yang diterima dengan menjadi pemberi kepada LBKM. Kitaran berterusan ini sangat penting kerana ia akan membentuk masyarakat yang lebih kukuh dalam menghadapi apa jua jenis cabaran."
Manfaat dermasiswa turut diraih oleh seorang lagi penerima dermasiswa LBKM, Encik Muhd Khairudin Saharom, seorang personaliti televisyen dan juga pengarah sebuah syarikat seni bina, Kite Studio Architecture.
Beliau menyatakan:
"Dengan bantuan LBKM sebelum ini, saya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran. Berbekalkan tahap disiplin yang tinggi, saya telah menerima Anugerah Pingat Emas Lee Kuan Yew kerana berjaya menjadi pelajar cemerlang dalam kohort saya pada ketika itu.
"Justeru, saya sangat berterima kasih kepada LBKM kerana menanam keyakinan untuk saya melakukan yang terbaik dalam kehidupan saya.
"Bersama keazaman tersebut, saya telah membina kerjaya dan perniagaan yang berkembang maju hingga hari ini. Sebagai tanda terima kasih, saya menyumbang kembali dan membantu penerima lain pula.
"Semoga LBKM dapat meneruskan legasinya dalam memberikan inspirasi kepada orang ramai agar lebih banyak kisah kejayaan dapat dicipta."
Selain itu, LBKM turut menerima sumbangan zakat harta pada setiap tahun dan bertanggungjawab menguruskan kutipan zakat yang perlu diagihkan kepada asnaf berkelayakan.
Kutipan ini berjaya memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya membantu pelajar memerlukan dalam pendidikan mereka.
Pada setiap tahun juga, kutipan zakat yang diterima itu akan diagihkan sepenuhnya kepada pelajar Muslim.
Sumbangan ini memberi faedah kepada sebahagian daripada 900 pelajar ukhrawi dan melibatkan manfaat yang bernilai lebih daripada $900,000.
Menurut Pangarah Eksekutif LBKM, Encik Muhammad Harmizan, badan itu sentiasa mengalu-alukan sumbangan masyarakat dalam usaha membantu pelajar dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan.
"LBKM bukan sahaja mengagihkan dermasiswa, malahan sentiasa mencari jalan bagi mengeratkan hubungan antara penderma dengan penerima dermasiswa dengan menghubungkan mereka melalui rangkaian, contohnya semasa majlis pembentangan dermasiswa tahunan.
"Selain itu, penerima juga dikehendaki menyumbang kembali kepada masyarakat dengan tenaga sukarela bersama LBKM dan juga badan-badan amal lain.
"Dengan penglibatan itu, kami dapat mendedahkan mereka kepada pelbagai peluang kemasyarakatan bagi memupuk semangat memberi dalam kalangan belia.
"Pada Ramadan yang mulia ini, jadikanlah sumbangan mulia anda sebagai satu cahaya yang memberi panduan dalam perjalanan pendidikan anak-anak kita. Tiada pelajar harus dinafikan hak pendidikan atas sebab-sebab kewangan. Hulurkan bantuan kerana anda mampu membuat perubahan," jelasnya.
CARA HULUR DERMA
- Lakukan pemindahan wang melalui bank (DBS Autosave) ke nombor 017-903045-5 atau PayNow kepada UEN S66SS0027A.
- Layari https://www.giving.sg/lbkm untuk menderma.
- Derma melalui cek yang disertakan nombor kad pengenalan dan telefon anda di belakang cek.
Kemudian, hantarkan cek tersebut ke alamat 448 Changi Road, # 04-01 Wisma Indah, Singapura 419975.
- Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi LBKM melalui pautan http://lbkm.org.sg atau hubungi talian 6447-4770.
- Bagi semua transaksi, sila isi borang sumbangan yang dilampirkan dan e-mel kepada enquiries@ lbkm.org.sg /atau pos kepada LBKM.
- Sila hantar borang sumbangan untuk menerima potongan cukai. Semua sumbangan layak dikenakan potongan cukai sebanyak 2.5 kali ganda

