LIMA kakitangan restoran makanan segera popular, McDonald's Singapore, telah disahkan positif Covid-19.
Kelima-lima mereka dari cawangan berlainan, kini menjalani kuarantin di kemudahan perubatan dan sedang dipantau oleh kakitangan perubatan sejajar panduan Kementerian Kesihatan (MOH).
Dalam kenyataannya sebentar tadi, McDonald's menyatakan, kelima-lima kakitangan itu bertugas di empat cawangan berbeza; McDonald's LIDO, Forum Galleria, Parklane dan Geylang East Central restaurants.
"Bagi kakitangan lain yang bekerja di cawangan-cawangan tersebut, mereka telah dimaklumkan oleh syarikat untuk mengasingkan diri selama 14 hari mengikut Cuti Ketidakhadiran (LOA).
"Sejajar dengan panduan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), empat restoran ini telah menjalani kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan ditutup sehingga dimaklumkan kelak," menurut kenyataan McDonald's Singapore.
Di Singapura, McDonald's punya rangkaian luas meliputi 136 restoran, 17 kemudahan 'Drive-Thru', 42 pondok manisan dan 48 cawangan McCafé.
Dalam kenyataannya itu, McDonald's turut memperincikan lima kes yang dihadapinya.
Kes Pertama: Pekerja bertuhas di McDonald's LIDO, dan hari terakhir bekerja adalah 2 April lalu. Pekerja itu juga bertugas di restoran McDonald's Parklane untuk sehari pada 30 Mac. Pekerja itu bertemu doktor pada 3 April kerana demam dan sakit tekak, dan diberikan cuti sakit 5 hari. Pekerja bertemu doktor sekali lagi pada 8 April dan dihantar menjadi ujian kesat.
Kes Kedua: Pekerja bekerja di McDonald's LIDO, hari terakhir bekerja adalah pada 3 April lalu dan menikmati hari rehat antara 4 hingga 6 April. Pekerja bertemu doktor pada 7 April kerana sakit sendi dan kejang otot.
Kes Ketiga: Pekerja bekerja di McDonald's Parklane, dan hari terakhir bekerja adalah 8 April lalu. Pekerja juga bertugas di McDonald's LIDO pada 30 Mac, 1, 2, 3 dan 6 April. Pekerja bertemu doktor pada 9 April kerana demam.
Kes Keempat: Pekerja bekerja di McDonald's Forum Galleria, dan hari terakhir bekerja adalah pada 8 April lalu. Pekerja adalah teman sebilik pekerja Kes Ketiga. Meskipun pekerja Kes Keempat tidak sakit, syarikat memintanya menjalani ujian kesat kelmarin, yakni 10 April lalu.
Kes Kelima: Pekerja bekerja di McDonald's Geylang East Central, dan hari terakhir bekerja adalah pada 8 April. Pekerja berjumpa doktor pada 9 April kerana demam dan dirujukkan ke hospital bagi ujian kesat.
Kesemua pekerja yang terjejas didapati mencatat suhu badan yang biasa apabila diambil suhu badan mereka semasa memulakan syif kerja masing-masing.
Sebaik dimaklumkan tentang hasil keputusan positif Covid-19 ke atas para pekerja ini, McDonald's serta-merta memaklumkan kesemua kakitangan yang bekerja di keempat-empat restoran bagi menjalani LOA.
"Ini adalah langkah pencegahan yang dilaksanakan syarikat bagi keselamatan kesemua kakitangan, tanpa mengira sama ada mereka ada berhubungan dengan pekerja yang terjejas; dan suhu badan mereka dan keadaan kesihatan akan dipantau secara dekat.
"McDonald's Singapore sedang bekerja rapat dengan pihak berwenang dan pihak berkuasa bagi memastikan setiap bantuan dihulurkan kepada pekerja dan keluarga mereka," menurut kenyataan itu lagi.
"Kami mengambil serius keadaan ini dan memantau secara dekat, sedang kami memberi sokongan kepada pekerja yang terjejas dan bantuan agar mereka kembali pulih. Sebagai langkah pencegahan, kami mengasingkan semua kakitangan yang bekerja di keempat-empat restoran dengan permintaan rasmi untuk kekal di rumah untuk 14 hari berikutnya," kata Pengarah Urusan McDonald's Singapore, Encik Kenneth Chan, dalam kenyataan itu.
"Keutamaan kami sekarang - sejak bermulanya pandemik - adalah untuk memastikan restoran kami selamat untuk semua. Sedang kami terus memastikan semua langkah keselamatan didukung ke tahap piawaian tertinggi, kami juga ingin menggalak semua pelanggan kami agar memakai pelitup apabila mengunjungi restoran kami untuk membeli makanan secara bungkus mengikut saranan terkini, demi keselamatan mereka sendiri dan kakitangan kami. Kami beriltizam untuk kekal bersatu dengan rakyat Singapura untuk menghentikan penularan ini," katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg