Topic followed successfully
Go to BHkuMajikan bersatu beri sokongan kepada NSmen
Majikan bersatu beri sokongan kepada NSmen
Program pementoran, aplikasi kecergasan, kursus pendidikan, kerjaya dan sumber manusia antara bidang tumpuan
Majikan bersatu beri sokongan kepada NSmen
SEBUAH program pementoran, aplikasi kecergasan, dan kursus dalam pendidikan kerjaya dan sumber manusia (HR) merupakan antara inisiatif bagi anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) yang diketengahkan sekumpulan majikan kelmarin.
Dipanggil Masyarakat Amalan Penyokong NS, kumpulan itu dilancarkan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How, di The Chevrons di Jurong bagi menyokong NSmen melalui inisiatif masyarakat.
Kumpulan 33 majikan itu merangkumi anggota Majlis Penasihat Perhubungan Masyarakat dalam Pertahanan (Accord) Kementerian Pertahanan (Mindef), persatuan perdagangan dan pemilik perniagaan.
Antara mereka ialah pengerusi kumpulan firma pengkomputeran awan InfoFabrica Holdings, Encik Abu Bakar Mohd Nor; pengarah urusan CTES Consulting, Cik Christina Tin; dan pengarah bagi hubungan dan komunikasi korporat di Qoo10, Encik Sam Too.
Idea bagi sebuah masyarakat sedemikian bertujuan mengekalkan usaha menyokong NS dalam masyarakat majikan dan perniagaan, memperkukuh dan meningkatkan sokongan bagi NS sebagai sebuah budaya nasional, kata Mindef.
Dalam acara kelmarin, kumpulan itu membincangkan idea yang akhirnya boleh dipertingkat untuk memberi manfaat kepada lebih ramai NSmen.
Lima idea dalam perancangan ialah: program pendidikan kerjaya, aplikasi kecergasan untuk menggalak kakitangan NSmen kekal sihat, program pementoran bagi NSmen lebih muda menggalas peranan kepimpinan semasa latihan dalam kem, kursus dalam HR dan peningkatan kemahiran dalam logistik dan pengurusan rantaian bekalan.
Demi menggalak peningkatan kemahiran, Accord bekerjasama dengan Persatuan Logistik Singapura untuk memberikan Sijil Pakar dalam Pengurusan Logistik, yang akan dilancar menjelang hujung tahun ini.
Institut Sumber Manusia Singapura menandatangani ikrar bagi Sokongan Pembangunan HR buat NSmen selama tiga tahun pada awal bulan ini bagi NSmen menikmati keanggotaan percuma selama satu tahun dengan institut itu untuk memperluas rangkaian mereka dalam masyarakat HR di Singapura.
NSmen juga boleh mendapatkan akses kepada webinar bulanan dan menyertai sesi persiapan pekerjaan.
Aplikasi kecergasan oleh Elxr membolehkan NSmen menyertai pelbagai program kecergasan menerusi kerjasama dengan Hab Sukan Singapura.
Encik Abu Bakar, seorang anggota Accord, berkata lima inisiatif yang telah dikenal pasti itu perlu diperhalusi.
"Kami percaya ini adalah lima perkara utama yang dipersetujui kedua-dua NSmen dan perniagaan.
"Namun, sedang masyarakat maju, kami berharap lebih ramai anggota boleh melihat idea ini dan bertanya bagaimana mereka dapat menyumbang dan memperluaskannya," kata beliau.

