KENYATAAN Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed:
Masyarakat Islam kita, seperti rakyat Singapura yang lain, telah berjaya mengamalkan norma-norma sosial yang baru dalam usaha mengatasi COVID-19.
Oleh itu, saya gembira Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah meluluskan rang undang-undang yang membolehkan pernikahan melalui pautan video semasa pandemik COVID-19, hinggalah keadaan beransur pulih dan perhimpunan dapat diadakan dengan selamat.
Muis telah mengeluarkan Irsyad yang menyatakan bahawa pernikahan melalui pautan video sah di sisi agama. Banyak masyarakat Islam lain, seperti di India, Indonesia, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudahpun melaksanakan pernikahan dengan cara ini dan diterima oleh masyarakat Islam massing-masing.
Saya berbesar hati kerana para pemimpin agama kita juga berusaha keras untuk memudahkan kehidupan beragama kita dengan mencari huraian yang progresif lagi praktikal.
Situasi COVID-19 ini amat mencabar bagi semua, tetapi kita akan lakukan sebaik mungkin untuk mengurangkan gangguan kepada kehidupan seharian rakyat Singapura, sambil mengutamakan keselamatan semua.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg