Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, akan melawat Republik Demokratik Rakyat Lao dari 23 hingga 26 Mac 2024.
Beliau ke sana mewakili Singapura di Mesyuarat Majlis Masyarakat Sosiobudaya Asean (ASCC) ke-31 di Luang Prabang dari 23 hingga 25 Mac.
Mesyuarat itu akan membincangkan hala tuju strategik ASCC di bawah tema 2024 iaitu ‘Asean: Enhancing Connectivity and Resilience’ (Asean: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Bingkas).
Mesyuarat itu akan membincangkan pelbagai keutamaan sosiobudaya bagi rantau ini, seperti menggalakkan budaya dan kesenian yang terangkum dan mampan, kerjasama alam sekitar, mengubah minda tentang peranan wanita dan kanak-kanak serta mengubah pembangunan kesihatan.
Berikutan itu, Encik Masagos akan melawat Vientiane dari 25 hingga 26 Mac.
Di sana, beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya dari Laos di Vientiane.
Encik Masagos akan menemui Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat, Cik Baykham Khattiya, dan Presiden Kesatuan Wanita Laos, Cik Aly Vongnorbountham.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg