MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) dengan sokongan Masjid Muhajirin dari Kelompok Masjid Utara pada Rabu (19 Ogos) telah mengadakan sambutan khas bagi memperingati permulaan tahun baru Islam 1 Muharam 1442 Hijrah yang bermula selepas maghrib sekitar 7.13 malam.

Disebabkan oleh langkah jarak selamat yang dilaksanakan di masjid, hanya 50 jemaah dibenarkan untuk hadir di sambutan ringkas itu.

Acara tersebut telah disiarkan secara langsung untuk penonton di rumah melaui Saluran SalamSG TV di YouTube dan laman Facebook Masjid Muhajirin.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Presiden Muis, Haji Mohammad Alami Musa,;dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Esa Masood; hadir di majlis tersebut.

Acara tahun baru itu dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun Hijrah oleh Ustaz Syaaban Piperdy, diikuti solat maghrib yang dipimpin oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Ustaz Asyraaf Ahmad menyambut tahun baru Islam dengan memanjatkan doa muhibah dan perlindungan masyarakat.

Sebagai penutup sambutan, Dr Nazirudin menyampaikan tazkirah mengenai rasa syukur dan pentingnya berkumpul sebagai satu masyarakat dalam masa-masa mencabar ini.

Beliau menghuraikan empat perkara utama yang masyarakat Muslim Singapura dapat pelajari ketika menghadapi cabaran saat ini:

(1) Sentiasa bersabar dalam semua keadaan;

(2) Bersyukur dengan apa yang Tuhan kurniakan kepada kita;

(3) Untuk kekal bersatu dalam menghadapi cabaran;

(4) Bertindak dengan bijaksana dalam menghadapi dugaan dan kesusahan.