MENTERI Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengingatkan orang ramai agar memastikan tarikh genap atau tarikh ganjil sekiranya ingin mengunjungi empat pasar popular di sini.
Dalam catatannya di Facebook, beliau menyatakan ada pengunjung yang tidak dibenarkan masuk kerana datang pada hari yang salah.
"Saya difahamkan ada pengunjung ke empat pasar basah popular kita tidak dibenarkan masuk kerana mereka datang pada tarikh yang salah. Jika anda merancang untuk ke empat pasar ini, pastikan tarikh sepadan dengan angka terakhir NRIC/FIN anda.
"Jika nombor kad pengenalan anda berakhir dengan angka ganjil (1, 3, 5, 7, 9), anda boleh memasuki pasar-pasar ini esok Sabtu (9 Mei) atau pada tarikh ganjil yang lain. Jika kad pengenalan anda berakhir dengan angka genap (0, 2, 4, 6, 8), anda boleh melawat pasar-pasar ini pada Ahad (10 Mei) atau tarikh genap lain pada bulan ini."
Beliau menasihati orang ramai agar "(a) periksa nombor kad pengenalan anda dan tarikh; dan (b) bawa kad pengenalan anda atau lain-lain bentuk pengenalan rasmi", sebelum meninggalkan rumah.
"Mari cuba kunjungi pasar-pasar pada hari biasa atau selepas 10 pagi pada hujung minggu. Pakai pelitup dan jaga jarak selamat pada setiap masa. Bantulah warga emas dalam keluarga atau jiran tetangga untuk membeli barangan runcit, agar mengurangkan risiko pendedahan mereka kepada Covid-19," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg