SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Akur haji ditangguh demi keselamatan

Akur haji ditangguh demi keselamatan

Walau kecewa bakal jemaah faham keadaan disebabkan Covid-19 masih menular
May 29, 2021 | 5:30 AM

Akur haji ditangguh demi keselamatan

TAHUN ini kali kedua berturut-turut Encik Zainal Ramli terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan haji akibat Covid-19.

Beliau, 59 tahun, antara 900 jemaah Singapura yang terjejas oleh penangguhan ibadat itu disebabkan pandemik tersebut.

Malah, mereka sepatutnya menunaikan rukun Islam kelima itu tahun lalu tetapi dihambat Covid-19.

Encik Zainal berkata sejak koronavirus itu menular, beliau mula memantau keadaan di luar negara dan sedar bahawa keadaan kelihatan tidak begitu baik.

"Saya sudah jangkakan pada tahun ini saya tidak dapat pergi juga. Saya memang berasa kecewa tidak dapat mengerjakan ibadah haji, tapi saya faham sebab-sebabnya kali ini," ujar penolong pengarah Agensi Makanan Singapura itu.

"Saya terima hakikat ini dan pada pendapat saya, ini adalah keputusan betul kerana sangat penting untuk bertindak demi keselamatan dan kemaslahatan jemaah.

"Keadaan virus Covid-19 di negara lain juga belum stabil," kata bapa tiga anak itu.

Beliau juga menghargai pengumuman awal oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengenai penangguhan itu, kerana membolehkan orang yang bekerja, seperti beliau, merancang semula cuti mereka.

"Selain itu, kami sebagai jemaah juga dapat pandangan baik dan fikiran jelas mengenai isu ini," ujarnya.

Encik Zainal merancang pergi ke Tanah Suci bersama isterinya, Cik Suhara Sulaiman, 60 tahun. Jika hasrat itu tercapai, ia kali kedua beliau menunaikan haji, tetapi kali pertama buat isterinya.

Pasangan suami isteri Jamel Ahmed, 60 tahun, dan Cik Zaidah Sinwan, 58 tahun, juga telah menjangkakan penangguhan ibdah haji tahun ini.

"Apabila kami melihat jumlah kes Covid-19 melonjak pada bulan puasa, kami sudah tahu mungkin kami tidak dapat pergi tahun ini," ujar Cik Zaidah, seorang suri rumah yang mengerjakan haji kali pertama pada 2004.

Pasangan itu ghairah apabila mendapat berita ada ni kemungkinan mereka dapat menunaikan haji tahun ini jumlah kes Covid-19 semakin menurun. Namun, keadaan sebaliknya berlaku.

"Pandemik ini sesuatu yang kami semua tidak dapat jangkakan dan saya menganggap masa ini bukan rezeki saya.

"Saya tak sedih atau pun marah. Ini semua ketentuan Allah dan kami tidak boleh menyalahkan siapa-siapa," kata ibu empat anak dan nenek tiga cucu itu.

Beliau bersyukur telah mengerjakan ibadah haji pada 2004. Pada waktu itu, beliau pergi bersama suami, Allahyarham ibu mentuanya dan anak bongsunya yang berumur lima tahun waktu itu.

Ketika itu, ibu mentuanya menggunakan kerusi roda dan Cik Zaidah yang menolaknya untuk ke mana-mana.

"Dengan usia semakin lanjut ini, saya harap dan berdoa saya diberi peluang menunaikan ibadah haji bersama suami sekali lagi," ujar Cik Zaidah.

Beliau juga percaya ada hikmah di sebalik apa yang sedang berlaku.

MASAGOS: SG, SAUDI PERLU AMBIL LANGKAH CEGAH

"Saya amat faham perasaan kecewa para jemaah haji kita yang terjejas buat kali kedua. Namun, kita harus mengutamakan keselamatan jemaah haji kerana keadaan pandemik kini kian berubah, terutama dengan adanya varian-varian baru kebelakangan ini. Walaupun kita mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap pengurusan pandemik oleh pihak berkuasa Arab Saudi, kami belum diberitahu syarat-syarat yang mungkin dikenakan jemaah haji kerana situasi Covid-19 sekarang. Singapura dan Arab Saudi mesti mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah dan mengurangkan potensi penularan virus ini untuk keselamatan individu, keluarga dan rakyat masing-masing." - Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dalam satu pos di Facebook semalam, mengenai langkah menunda lagi haji tahun ini disebabkan Covid-19.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg