Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: S’pura sokong teguh peranan Jordan sebagai penjaga Masjid Al-Aqsa

Sep 5, 2024 | 8:06 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan) menemui Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam, Encik Mohammed Khalayleh (dua dari kiri).
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan) menemui Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam, Encik Mohammed Khalayleh (dua dari kiri). - Foto MDDI

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Singapura menyokong teguh peranan Jordan sebagai penjaga dan pengamanah Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis.

Ini dinyatakan beliau semasa pertemuannya dengan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam Jordan, Encik Mohammed Khalayleh, menurut Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, dalam satu hantaran Facebook pada 5 September.

Beliau melakukan lawatan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan dari 1 hingga 5 September sebagai sebahagian usaha mengukuhkan hubungan Singapura dengan dua negara tersebut bagi menjalin kerjasama pada masa hadapan.

“Saya menekankan sokongan Singapura terhadap peranan berterusan Jordan sebagai penjaga dan pengamanah Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis dan menyampaikan penghargaan saya kepada Jordan kerana menjadi tuan rumah kepada pelajar Singapura.

“Saya berharap dapat bekerjasama lebih rapat dengan Menteri Khalayleh demi membina hubungan yang lebih kukuh,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan.

Semasa di Jordan, Encik Masagos juga bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), Dr Hussein Mohammad Al-Shebli, dan Encik Masagos diberikan taklimat tentang operasi bantuan kemanusiaan dari Jordan ke Gaza.

Ini juga berdasarkan operasi penghantaran bantuan kemanusiaan oleh Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada Mac, dan Encik Masagos menghargai kerjasama erat yang diberikan JHCO dan pemerintah Jordan.

“Kami menghargai dedikasi JHCO dalam memastikan bantuan sampai dengan cepat dan berkesan.

“Dengan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, Singapura, bersama masyarakat antarabangsa, menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan, pembebasan tebusan tanpa syarat, dan akses kemanusiaan tanpa halangan,” ujar beliau.

Semasa di Jordan, Encik Masagos juga beramah-tamah dengan pelajar Singapura di universiti negara itu dan berkongsi perkembangan terkini tentang Singapura, termasuk mengenai program pembangunan asatizah masa depan, seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Pada 4 September, Encik Masagos menyaksikan penyerahan cek simbolik bernilai AS$854,000 ($1.1 juta) kepada Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bagi membantu warga di Gaza.

Cek itu disampaikan oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg