MASIH ada beberapa slot di 10 masjid serata pulau, yang memerlukan tempahan, untuk solat isyak dan tarawih pada 22 Mac.

Tinjauan Berita Harian (BH) ke laman tempahan slot solat menunjukkan bagi Kelompok Masjid di bahagian utara, sehingga akhbar ini dicetak, Masjid An-Nur di Woodlands, Masjid Yusof Ishak dan Masjid Darul Makmur di Yishun masih mempunyai slot bagi solat isyak dan tarawih bagi 22 Mac.

Umat Islam di sini dijadualkan mula berpuasa pada 23 Mac.

Masjid An-Nur misalnya mempunyai sekitar 3,100 slot bagi solat isyak/tarawih manakala Masjid Masjid Yusof Ishak dan Darul Makmur masing-masing masih ada baki sekitar 2,000 dan 1,600 slot.

Bagi kelompok selatan pula, pemeriksaan BH menunjukkan dua masjid di kelumpuk itu, yang perlukan tempahan, masih boleh menerima jemaah untuk solat Isyak/tarawih.

Masjid Al-Abrar misalnya mempunyai sekitar 300 slot sementara Masjid Tasek Utara mempunyai sekitar 70 slot bagi 22 Mac.

Di sebelah timur, ada empat masjid - Al Taqua, Al-Istighfar, Darul Ghufran dan Al-Islah yang masih ada slot untuk isyak/tarawih biarpun Masjid Al-Istighfar hanya mempunyai baki sekitar 60 slot.

Sementara di sebelah barat pula, Masjid Al-Khir mempunyai baki sekitar 800 slot.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebelum ini mendedahkan terdapat 98,550 ruang solat tarawih disediakan di 67 masjid sepanjang Ramadan akan datang.

Tempahan tidak diperlukan, melainkan di 10 masjid di mana permintaannya tinggi dan ruangnya terhad.

Kesemua 10 masjid yang memerlukan tempahan bagi solat Isyak dan tarawih adalah Masjid Al-Islah, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Taqua, Masjid Darul Ghufran, Masjid An-Nur, Masjid Darul Makmur, Masjid Yusof Ishak, Masjid Al-Abrar, Masjid Tasek Utara dan Masjid Al-Khair.

Muis sebelum ini juga berkata pihaknya akan menyemak keperluan membuat tempahan bagi solat tarawih di 10 masjid dan akan membuat penyesuaian jika perlu.

Semakan itu termasuk memantau kehadiran dan keperluan jemaah pada minggu pertama Ramadan.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan solat boleh kunjungi https://prayerbooking.ourmasjid.sg/

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti