WALAUPUN menghadapi kesukaran dan cabaran dek pandemik Covid-19, ramai dalam kalangan masyarakat India meningkatkan usaha untuk menyokong golongan yang memerlukan.

Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, memberikan penghargaan kepada usaha masyarakat itu dengan pelancaran sebuah video oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) di cawangan Chong Pang, kelmarin.

Berjudul Light Of Hope, video itu diterajui pembuat filem K. Rajagopal, yang ingin memaparkan ketabahan masyarakat menerusi penggunaan cerita kehidupan sebenar, diiringi lagu asli yang menggunakan imej api menyala sebagai metafora untuk kebaikan.

Lagu itu ditulis oleh penulis lirik Jaya Rathakrishnan dan dipersembahkan oleh vokalis Carnatic, Sushma Soma.

Muzik Carnatic mempunyai sejarah dan salasilah di India Selatan.

Video itu bertujuan menyampaikan inti pati Deepavali, iaitu bersikap baik terhadap orang lain, kata Encik Shanmugam.

"Apabila kita bersikap baik kepada orang lain, ia akan membawa kita daripada kegelapan kepada cahaya, dan kebaikan itu akan menggalakkan masyarakat yang lebih bersatu semasa tempoh yang sukar," tambah beliau.

Dua tahun sebelum ini, sambutan Deepavali yang lebih kecil dan kurang meriah akibat langkah pengurusan selamat bagi membendung penularan Covid-19.

Walaupun perlu menyesuaikan diri dengan sekatan peraturan tersebut, pertubuhan seperti Pusat Warisan India, Persatuan Pekedai dan Warisan Little India (Lisha) dan Lembaga Endowmen Hindu terus mengadakan acara-acara kebudayaan dan agama bagi memastikan perayaan lampu disambut, ujar beliau.

Meskipun perayaan tahun ini akan kembali seperti biasa, beliau mengingatkan masyarakat supaya menjaga kesihatan mereka, memandangkan kes-kes Covid-19 yang semakin meningkat dan keperluan penggunaan pelitup yang sekatannya telah dilonggarkan.

Secara keseluruhannya, masyarakat India telah bangkit daripada pandemik ini dengan kukuh dan teguh.

Encik Shanmugam menyatakan bagaimana masyarakat itu terus bersatu padu dalam menyokong antara satu dengan lain.

Beliau memberi contoh bagaimana Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) membantu lebih ramai pelajar dan keluarga kurang bernasib baik berbanding sebelum ini, dengan sokongan ramai dalam masyarakat India.

Kumpulan masyarakat lain juga telah menyumbang kepada semangat perpaduan masyarakat, termasuk Lighting Hearts Lightning Homes, yang telah mengagihkan beg habuan kepada keluarga India dan pekerja migran.

"Kami kini dapat melihat cahaya, selepas dikelilingi kegelapan.

"Ini menjadikan Deepavali tahun ini amat bermakna," tambah Encik Shanmugam.