Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenlu Asean lahir rasa kesal atas kematian akibat serangan udara di Myanmar
Menlu Asean lahir rasa kesal atas kematian akibat serangan udara di Myanmar
PARA menteri ehwal luar yang menghadiri mesyuarat khas Menteri Luar Asean (SAFMM) di Jakarta, Indonesia melahirkan rasa kesal yang mendalam atas kehilangan nyawa akibat serangan udara di wilayah Kachin di Myanmar baru-baru ini, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang menghadiri mesyuarat turut menekankan kekecewaan Singapura yang mendalam terhadap kekurangan kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, peningkatan keganasan serta keadaan yang semakin buruk.
Beliau juga terus menggesa pihak berkuasa tentera Myanmar untuk bertindak dengan segera bagi melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara itu.
Ia termasuk membenarkan wakil khas Pengerusi Asean mengenai Myanmar untuk mendapatkan akses kepada semua pihak yang berkepentingan dan memudahkan pengagihan bantuan kemanusiaan yang pantas, saksama dan telus kepada semua yang memerlukan, tanpa diskriminasi.
Beliau mengesahkan keperluan bagi Asean untuk melibatkan semua pihak yang berkepentingan di Myanmar tidak lama lagi dan menggesa adanya dialog di kalangan semua pihak yang berkenaan untuk mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.
Para menteri ehwal luar bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai saranan-saranan yang akan diusulkan kepada para pemimpin Asean di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 11 November tahun ini.