Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri arah lif awam diperiksa lebih kerap

Mar 11, 2016 | 4:55 PM
TINGKAT KESELAMATAN LIF: Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, mengarahkan Penguasa Bangunan dan Binaan memeriksa lif awam dan menyemak semula peraturan sedia ada menyusuli beberapa insiden kerosakan lif. - Foto
TINGKAT KESELAMATAN LIF: Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, mengarahkan Penguasa Bangunan dan Binaan memeriksa lif awam dan menyemak semula peraturan sedia ada menyusuli beberapa insiden kerosakan lif. - Foto - The Straits Times

PIHAK berkuasa akan meningkatkan kekerapan mereka memeriksa lif awam dan menyemak semula peraturan sedia ada menyusuli beberapa insiden kerosakan lif.

Menyatakan ini di laman Facebook beliau sekitar 2 petang tadi, Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, berkata, beliau telah mengarahkan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk melakukannya.

Katanya: "Terdapat satu siri insiden baru-baru ini. Pemilik lif telah melantik pakar untuk meneliti kejadian yang berlaku dan siasatan masih berjalan.

"Buat sementara waktu, saya telah mengarahkan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk meningkatkan pemeriksaan audit bebas ke atas lif awam di seluruh Singapura, terutamanya di flat-flat HDB.

"Ia akan menyebabkan sedikit gangguan terhadap operasi lif dan kesukaran kepada penduduk. Saya memohon anda bersabar dan memahami perkara ini.

"Kami ingin pemeriksaan dilakukan dengan menyeluruh dan tidak mahu berkompromi dalam soal keselamatan," ujarnya.

BCA akan juga "menyemak dan mengemaskini" peraturan lif lewat tahun ini demi "mempertingkatkan piawaian sedia ada dan memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kesemua pemilik lif, pengeluar dan kontraktor".

Kejadian melibatkan lif awam baru-baru ini kesemua melibatkan lif di blok-blok HDB.

Kes terbaru yang dilaporkan berlaku pada 7 Mac lalu di estet Ang Mo Kio, apabila seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 36 tahun digugah dan terperangkap semasa berada dalam lif selepas ia tiba-tiba naik 17 tingkat secara mendadak.

Pada Oktober tahun lalu, seorang warga emas berusia 85 tahun terpotong tangannya apabila pintu lif tertutup.

Penduduk Jurong itu juga terjatuh dan patah kaki.

Januari lalu, sebuah lif di Edgefield Plains di Sengkang telah digantung operasinya selepas salah satu pintu dalamannya terbuka semasa lif bergerak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg